USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERBIT USM MENANG DUA ANUGERAH MAPIM-KPT 2015

IMG 8346

PULAU PINANG, 25 April 2016 - Penerbit USM memenangi dua anugerah di Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2015 yang berlangsung minggu lalu di Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.

Menurut Pengarah Penerbit USM Akhiar Salleh, anugerah tersebut ialah Anugerah Editor Naskhah Terbaik (Sains, Teknologi dan Perubatan) dengan hadiah utama sebanyak RM8,000.00 dimenangi editor naskhah Pegawai Penerbitan Kanan Rosziana Radli (RM5,600.00) untuk suntingan buku yang berjudul Pengenalan kepada Pencemaran Udara karya Abdul Rahman Mohamed, Lee Keat Teong dan Irvan Dahlan. 

IMG 8355

Rosziana Radli pernah memenangi dua anugerah yang sama dalam kategori Sains, Teknologi dan Perubatan dan kategori Kemanusiaan dan Sains Sosial pada tahun 2011.

Penerbit USM juga menerima Anugerah Editor Naskhah Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial) dengan Hadiah Penghargaan bernilai RM3,000.00. Editor Naskhah ialah Pegawai Penerbitan Che Su Yaakub untuk suntingan buku yang berjudul Bon Pelaksanaan Dalam Kontrak Pembinaan karya Abdul Aziz Hussin.

Selain daripada Anugerah Editor Naskhah Terbaik yang dimenangi oleh Penerbit USM, kategori lain yang dipertandingkan ialah Anugerah Buku Terbaik, Anugerah Makalah Jurnal Terbaik, Anugerah Karya Suntingan Terbaik, Anugerah Buku Ilmiah Popular dan Anugerah Reka Bentuk Buku Terbaik.

IMG 8351

Semua anugerah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh.  Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi  Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Dato’ Dr Asma Ismail selaku Pengerusi Lembaga MAPIM.

Menurut Akhiar, pihaknya akan berusaha lebih gigih untuk menghasilkan penerbitan buku berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa terutamanya melalui atas talian dan penerbitan buku elektronik (e-book).

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengucapkan tahniah kepada Penerbit USM dan para pemenang atas kejayaan tersebut.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Ihsan Penerbit USM

  • Created on .
  • Hits: 1238

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024