USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMENTERIAN PELANCONGAN KOMITED PELIHARA SUNGAI BATU

DSC 0005

SUNGAI PETANI, 19 Mac 2015 – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menzahirkan komitmen tinggi untuk memastikan Tapak Arkeologi Sungai Batu diangkat sebagai sebuah tapak arkeo-pelancongan dengan dilengkapi pelbagai fasiliti.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pihaknya akan membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci dan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi merealisasikan hasrat mewujudkan satu lagi tarikan pelancongan di negeri Kedah.

Katanya, peruntukan sepenuhnya masih belum dimuktamadkan namun dengan hasil yang telah dilihat memberi satu keyakinan kepada pihaknya untuk mengemukakan cadangan dan mendapatkan kelulusan secepat mungkin.

DSC 0010sdg

“Saya bangga dengan pencapaian yang telah dibuat di sini, termasuk usaha penyelidik membina pelbagai kemudahan sementara dan melindungi kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai artifak yang tiada tolok tandingnya.

“Tempat ini sangat bernilai tinggi dan kerajaan tidak boleh lambat dalam bertindak untuk memelihara dan memuliharanya kerana jika berlengah dikhuatiri segala yang dijumpai di situ akan musnah oleh pelbagai sebab,’’ katanya.

DSC 0022

DSC 0030

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika lawatan kerja ke Tapak Arkeologi Sungai Batu di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dan Pesuruhjaya Warisan, Dato’ Dr. Zainah Ibrahim.

Terdahulu beliau juga merasmikan Galeri Kataha, ruang pameran Kedah Tua yang ditempatkan di Sungai Batu yang menceritakan kronologi dan simulasi penemuan hebat yang dirintis oleh pakar arkeologi ternama dari Pusat Penyelidikan Arkeologi USM Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.

DSC 0040

Mohamed Nazri juga berkata, komitmen yang dizahirkannya juga adalah tanda bahawa sokongan kerajaan dalam mengangkat bidang arkeo-pelancongan di negeri berkenaan bukan sebagai omong kosong dan semua pihak dinasihatkan supaya mengambil berat mengenai perkara itu.

“Tempat ini membuktikan ketinggian tamadun Melayu dan paling penting ia adalah hasil penemuan anak jati kita yang perlu dibanggakan dan dijaga.

DSC 0065hkj

“Saya telah melawat ke pelbagai tapak arkeologi termasuk di Mesir, Jordan dan sebagainya namun keadaan di sini melambangkan kualiti yang tinggi dan ia jauh lebih baik serta membanggakan kita,’’ katanya.

Mengulas pembangunan di situ, beliau juga berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam membangunkan kawasan tersebut juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menukar nama Sungai Batu kepada nama yang lain atas apa jua alasan.

“Nama Sungai Batu mempunyai sejarahnya tersendiri dan ia menjadi sebahagian dari warisan nenek moyang yang perlu kekal dipelihara,’’ ujar beliau.

DSC 0084

DSC 0090ll

Sementara itu, Muhamad pula berkata, USM juga akan sentiasa komited membantu dalam menyumbang kepada pembangunan di kawasan tersebut khususnya dalam aspek penyelidikan yang menemukan pelbagai penceritaan Sungai Batu.

“Selepas kajian lima tahun di sini, pakar kita telah menemukan bukti-bukti kukuh termasuk wujudnya tapak ritual, pelabuhan, peleburan besi dan pusat pentadbiran.

DSC 0096

DSC 0109

“Kesemua penemuan tersebut membolehkan tapak arkeologi ini bersedia dan layak untuk dibangunkan sebagai satu produk arkeo-pelancongan bertaraf dunia,’’ katanya.

Beliau turut berkata kejayaan penyelidikan di situ turut dibantu oleh pelbagai pihak antaranya, Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri Kedah, Pejabat Daerah Negeri Kedah dan pelbagai lagi.

DSC 0119

DSC 0137

Dalam pada itu, tapak arkeologi Sungai Batu yang telah masuk 5 tahun diekskavasi oleh kumpulan penyelidik USM diketuai Mokhtar mencipta sejarah negara apabila segala penemuan mencadangkanSungai Batu adalah tamadun tertua di rantau ini. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1824

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024