USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAJA DAN RATU PECUT USM RAIH GELARAN ATLET TERBAIK

USM, PULAU PINANG, 18 April 2016 – Jaguh pecut Universiti Sains Malaysia (USM) bagi kategori lelaki dan wanita mengungguli takhta atlet lelaki dan wanita terbaik dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) kali ke-42 Universiti Sains Malaysia (USM) yang melabuhkan tirainya di sini baru-baru ini.

Wan Zhi Xuan dari Desasiswa Jaya Utama menjuarai acara 100 meter (M) lelaki dengan catatan masa 11.4 saat manakala Sharmila a/p Sendera Seger dari Indah Kembara turut menjuarai acara yang sama bagi kategori wanita dengan catatan 13.88 saat.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam ucapan penutup TOT menyatakan kebanggaan beliau terhadap pencapaian atlet-atlet yang bertanding dan berharap mereka dapat mengekalkan momentum terbaik bagi menghadapi kejohanan-kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen serta atlet yang berjaya merangkul kejuaraan dan beraksi dengan penuh cemerlang pada tahun ini.

“Bagi mereka yang kurang bernasib baik, berusaha lagi untuk memajukan diri ke arah kecemerlangan pada masa akan datang. Semangat kesukanan yang tinggi dan usaha yang kental harus dipupuk dalam sanubari setiap atlet,” katanya.

Yang turut hadir di majlis penutupan ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Alumni (BHEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan isteri Datin Kamaliah Siarap serta pegawai-pegawai utama universiti.

Beliau turut menyaksikan beberapa pertandingan akhir termasuk acara 4X100 meter (M) lelaki yang dijuarai Desasiswa Jaya Utama, Indah Kembara di tempat kedua dan seterusnya oleh Aman Damai. Manakala kategori wanita pula, juara disandang oleh Desasiswa Murni, Indah Kembara dan tempat ketiga oleh Bakti Permai dan Cahaya Gemilang.

Acara tarik tali yang saban tahun turut mencuri tumpuan dalam TOT, menyaksikan pasukan dari Desasiswa Indah Kembara memenangi tempat pertama bagi kategori lelaki manakala kategori wanita dimenangi oleh pasukan Desasiswa Jaya Utama.

Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1218

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024