USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA PENGHAKUPAYAAN PELAJAR HASIL SISWAZAH BERFIKIRAN GLOBAL

12042792 1005461716170887 5653909146702870219 n

Usaha Universiti Sains Malaysia (USM) menghakupayakan pelajar kian membuahkan hasil. Mahasiswa hari ini kian berani menerokai kemampuan diri sebagai pemain global yang bercakap tentang isu-isu yang merentasi sempadan.

Basyirah Al-Iman Mohamad, 22, pelajar tahun 3 pengajian Pengurusan antara contoh mereka berusaha menerokai peluang. Berbekalkan minat mendalam tentang isu-isu kelestarian dan alam sekitar, Basyirah mengeluarkan belanja sendiri untuk mengikuti program "The Climate Reality Project" yang  diasaskan oleh bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al-Gore di Manila Filipina bulan lalu.

“Saya berminat dan sentiasa mengikuti program Sukarelawan Kampus Sejahtera,” kata Basyirah bercerita tentang penglibatan awalnya dalam program yang digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa USM itu.

Penyertaan mahasiswa dalam program-program yang dianjurkan melalui  Kampus Sejahtera yang berfokuskan kepada menghakupayakan pelajar dalam isu-isu kelestarian sejak 2013 terus meningkat, misalnya pada tahun 2013 sebanyak 8,008 orang peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti kesedaran dan tindakan untuk kelestarian manakala pada tahun 2014 dan 2015, peningkatannya berlaku secara mendadak iaitu masing-masing sebanyak 10,147 dan 11,510 kerana setiap program yang dilaksanakan oleh Sekretariat Kampus Sejahtera lebih tersusun dengan pengenalan gerak kerja yang lebih berstrategi melalui 6 kluster iaitu Kluster Air, Kluster Tenaga, Kluster Kesihatan, Kluster Agrikultur, Kluster Biodiversiti, dan Kluster Zero Waste.

“Sepanjang berada di Manila, kami dilatih dan didedahkan tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan perubahan cuaca dan krisis yang berkaitan serta berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang ada,” kata Basyirah.

Yang paling menggembirakannya ialah apabila tamat latihan peserta diberi sijil pengesahan dan dilantik menjadi pemimpin perubahan cuaca atau Climate Change Leader yang diminta  menjalankan tindakan-tindakan kepimpinan atau ‘Acts of Leadership’ apabila pulang di negara masing-masing.

Bercerita tentang bagaimana terlibat dalam program ini, Basyirah menghantar permohonan berdasarkan maklumat yang diberi oleh seorang kenalannya dari India yang memintanya untuk berbuat demikian.

Basyirah bersama seorang lagi peserta dari negara ini terpilih dalam kalangan 700 orang peserta dari sejumlah 2,000 orang yang memohon mengikutinya.

“Saya sangat teruja menggalas tanggungjawab untuk menyebar dan melakukan aktiviti berkaitan yang melibatkan pelbagai lapisan usia dan anggota masyarakat tentang isu-isu semasa yang boleh menjejaskan alam sekitar akibat perubahan cuaca,” katanya bersemangat.

Tambahnya, ini adalah peluang dan pengalaman yang sangat berharga, apabila saya dapat menimba ilmu secara langsung sepanjang berada di Manila  kerana Al-Gore  banyak memberi pendedahan yang masih ramai lagi tidak tahu apa yang sedang berlaku dan sekarang adalah masa untuk bertindak dengan sewajarnya apatah lagi kerana dapat berjumpa dengan individu  dari pelbagai jenis latar belakang dari 120 negara.

“Saya ingin meneruskan usaha ini bukan sahaja untuk berkongsi dengan rakan-rakan di universiti malah bermula dari peringkat sekolah agar dapat bersama-sama memainkan peranan mengurangkan kesan perubahan cuaca atau climate change,” kata anak kelahiran Johor Bahru itu lagi.

Ini terbukti berjaya dilakukannya apabila ceramahnya tentang isu ini menarik lebih 800 orang pelajar mengikutinya di USM baru-baru ini.

Basyirah yang berhasrat untuk mencebur diri dalam perniagaan sendiri satu hari nanti adalah contoh bagaimana anak-anak muda di universiti kini melihat dunia yang berbeza, keluar dari lingkungan kehidupan sehariannya malah berani untuk mencuba melakukan hal-hal yang di luar kotak.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1225

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024