USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUTIK KAPAS BOLEH MENYEBABKAN PEKAK

KUBANG KERIAN, 4 Februari 2016 - Penggunaan putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan boleh menyebabkan masalah gangguan pendengaran.

Demikian tegas pensyarah Jabatan Otorinolaringologi (ORL), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr. Irfan Mohamad.

“Itulah hakikatnya jika bertanya kepada pakar telinga di mana-mana klinik atau hospital swasta sekalipun kerana masyarakat tidak sedar bahawa tabiat mengorek telinga secara rutin inilah yang menjadi punca membawa mereka ke klinik berjumpa doktor," kata Irfan.

Jelasnya, manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap dengan mekanisme yang membolehkan menjalani hidup yang selesa, walaupun tanpa penggunaan perkakasan tambahan."

Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang menghasilkan lilin telinga (ear wax) dengan struktur menyerupai rerambut halus di bahagian menghala ke luar, dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.

“Lilin telinga, yang orang biasa kenalinya sebagai tahi telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga yang rata-ratanya menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci walaupun fahaman ini sebenarnya adalah salah," tegas Irfan.

Kerana itu katanya, mereka yang tidak menggunakan putik kapas akan terasa seperti debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga yang sebenarnya ialah lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh petugas-petugas yang sentiasa bekerja di dalam telinga.

"Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga akan terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam yang sampai ke suatu tahap seseorang akan mengalami apa yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif,” katanya lagi.

Tambahnya, terdapat banyak kes hujung kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan menyebabkan tertinggal di dalam lubang telinga yang tidak dapat dikeluarkan di rumah oleh pesakit sendiri atau kawan yang ingin membantu.

"Ini adalah kerana lokasinya yang agak jauh ke dalam, ruangnya yang sempit serta susunan saluran telinga yang tidak lurus sepenuhnya dan  pengeluaran kapas berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik dan putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forseps," jelas Irfan.

Ada juga mereka yang menggunakan benda-benda yang lebih berbahaya seperti pin rambut, lidi, hujung pensel dan sebagainya untuk mengorek telinga.

"Penggunaan alat-alatan ini lebih mengundang padah kerana  akan lebih mendedahkan pesakit kepada kecederaan yang serius seperti luka pada saluran telinga dan kerosakan pada gegendang telinga selain daripada turut mendedahkan kepada risiko jangkitan kuman pada saluran telinga yang dipanggil otitis eksterna," kata Irfan.

Pesakit selalunya akan hadir ke klinik dan hospital apabila terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka malah ada juga dalam kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di dalam telinga yang setelah menjalani pemeriksaan dan lilin telinga termampat disahkan, doktor akan menggunakan beberapa kaedah untuk mengeluarkannya.

"Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan kemudiannya barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.

"Sesetengah hospital, terutamanya hospital besar yang mempunyai perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan yang  apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sedia kala manakala bunyi bising dalam telinga atau tinnitus akan hilang dan rasa selesa kembali dinikmati," jelas Irfan lagi.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak lagi menggunakan putik kapas dan  perlu ingat bahawa badan seseorang itu telah diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap. "

Sebarang manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang mencukupi agar kita tidak ditimpa mudarat seperti mana pesanan orang tua-tua bahawa menjaga kesihatan dengan cara mencegah adalah lebih baik, lebih selesa, lebih mudah dan jauh lebih murah daripada merawat," tegas Irfan.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1575

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024