USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

URICAS BAKAL PACU PENYELIDIKAN SAINS PENUAAN

DSC 0153

PULAU PINANG, 9 Mac 2015 -  Sains Penuaan mungkin masih kelihatan asing dan bukan satu bidang yang popular di negara ini. Pun begitu, bidang ini semakin berkembang dan menjadi salah satu disiplin ilmu pengetahuan moden yang menjanjikan masa hadapan yang cukup baik untuk dunia sains dan penyelidikan. Apatah lagi jika melihat potensi untuk dikembangkan kepada kajian dan analisis lebih khusus yang menghasilkan pelbagai penemuan menakjubkan serta memberi jawapan kepada pelbagai persoalan.

Menyedari prospek yang bakal memberi manfaat terhadap dunia penyelidikan dan gedung ilmu, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kerjasama erat yang dijalin dengan institut penyelidikan terkemuka dunia, RIKEN Institute, Jepun bakal membangunkan sebuah institut bersama yang dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Sains Penuaan Antarabangsa USM-RIKEN atau lebih mudah dengan istilah URICAS (USM-RIKEN International Centre for Ageing Science).

DSC 0162

USM yang diterajui Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman telah menandatangan satu memorandum persefahaman (MoU) berhubung penubuhan URICAS, yang turut menjadi pusat yang pertama seumpamanya di rantau ini dengan pemenang hadiah Nobel Laureatte dalam bidang Kimia (2001) merangkap Presiden RIKEN, Profesor Dr. Ryoji Noyori.

Upacara bersejarah tersebut berlangsung di di Kampus RIKEN Wako, Tokyo, Jepun, bersempena lawatan kerja rasmi delegasi USM ke institusi berprestij dan menjadi kebanggaan negara Jepun yang berusia hampir 100 tahun itu.

DSC 0136

 

Koordinator URICAS, Profesor Dr. Mohd. Nazalan Mohd. Najimudin berkata, USM dan institusi penyelidikan terulung Jepun itu telah menjalin kolaborasi lebih dari 20 tahun yang lalu, bermula dengan penghantaran para pelajar menjalankan penyelidikan sehinggalah yang terbaru, persetujuan untuk menubuhkan URICAS.

Katanya, URICAS perlu dan sangat baik untuk diwujudkan kerana dari aspek akademiknya ia akan menyediakan satu platform untuk perluasan topik ilmu yang sangat menarik. Proses penuaan adalah satu kitaran biologi yang perlu dihadapi oleh setiap yang bergelar manusia.

“Setiap dari kita akan menjadi tua dan badan juga mengalami segala perubahan yang ditentukan oleh masa. Masa dalam konteks ini juga adalah sebahagian dari proses biologi. Seiring perkembangan itu penuaan turut datang dengan beberapa perkara yang tidak dapat dielak termasuk gangguan (disorder) seperti sakit tua, alzheimer, parkinson dan sebagainya.

DSC 0122

 

“Para saintis di seluruh dunia juga telah menemukan pelbagai gen yang terlibat dan membantu kita menjadi tua. Ia memberi satu ruang yang sangat menarik untuk dikaji dan sangat rapat dengan manusia itu sendiri,’’ ujarnya.

Tambah beliau, seperti mana Jepun, Malaysia juga kini berhadapan dengan satu fenomena yang mana kelompok orang berusia menjadi kumpulan terbesar dalam masyarakat dalam tempoh enam tahun dari sekarang (2021). Malah pola itu juga merangkumi masyarakat di seluruh dunia dan terbukti kajian dalam bidang sains penuaan akan menarik minat kelompok yang lebih besar merangkumi seluruh dunia.

Mengulas lanjut penubuhan URICAS, pusat tersebut kini dalam proses pembentukan dan fokus diletakkan kepada prinsip fundemental. Pada fasa permulaan ini kedua-dua pihak akan membangunkan program yang pada akhirnya akan membentuk sebuah pusat. Kerjasama yang telah sedia terjalin melalui rangkaian penyelidik di USM dan RIKEN akan dikukuhkan dan para saintis yang telah mempunyai hubungan yang baik dengan Riken disarankan mengalihkan penyelidikan mereka dengan sains penuaan.

DSC 0110

“Penyelidik perlu mengadakan perbincangan secara terperinci untuk mendapatkan fokus masing-masing. Sebagai contoh, jika penyelidik itu memfokuskan kajiannya kepada jangkitan bakteria, beliau dalam masa yang sama boleh melihat bagaimana jangkitan bakteria mempengaruhi proses penuaan seseorang termasuk dari aspek imunisasi yang menyebabkan manusia semakin hilang sistem imun apabila umur semakin meningkat.

“Selepas perbincangan, para penyelidik akan tampil dengan cadangan penyelidikan masing-masing untuk diteliti dan terus ke peringkat selanjutnya. Ia akan dibuat secara berperingkat dan menumpukan kepada perkara-perkara fundemental kerana saya percaya asas yang kukuh akan membolehkan usaha ini direalisasikan dengan jayanya,’’ ujar beliau.

Nazalan juga berkata, USM akan menyuntik dana berjumlah RM1 juta setiap tahun untuk pembangunan URICAS dan sebahagian darinya akan digunakan untuk tujuan melahirkan akademia di peringkat pasca kedoktoran. Selain dari itu, USM juga akan memilih para pelajar yang sedang mengikuti program ijazah doktor falsafah (Ph.D) yang terbaik dan paling sesuai dari segi bidang untuk dibawa masuk ke program URICAS supaya mereka dibiayai untuk menjadi akademia pasca kedoktoran.

“Kita juga akan memberi peluang kepada para pelajar yang sedang mengikuti program ijazah lanjutan untuk menjalankan penyelidikan di RIKEN selama tiga bulan setiap tahun. Para pelajar ini akan diselia secara bersama dengan pensyarah di USM dan RIKEN. Ini adalah antara perancangan yang dibuat untuk membangunkan URICAS, selain turut membantu melatih tenaga akademik negara ke satu tahap yang membanggakan,’’ katanya.

DSC 0157

Tambah beliau, untuk memberi kelangsungan dan signifikasi kepada sesebuah pusat, ia memerlukan satu track record dan dengan perancangan rapi yang dibuat bermula dengan aspek-aspek fundemental, pensyarah berpengalaman yang mempunyai kepakaran luas, penerbitan berimpak dan sebagainya, beliau yakin URICAS dapat dibangunkan dan dilihat secara fizikal dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas lanjut kepentingan ilmu sains penuaan, beliau dengan penuh yakin menjangkakan bidang ini amat signifikan untuk dikembangkan dengan mengambil kira pelbagai penemuan yang telah dijumpai oleh para saintis di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

“Siapa jangka jika ada model organisma lain di mana gennya kalau berubah boleh hidup lebih dua kali ganda dari jangka hayat biasa. Perkara ini telah dikaji oleh saintis dalam sejenis cacing dan hasil kajian mendapati jangka hayat cacing tersebut bertambah dari hanya boleh hidup dalam masa beberapa hari kepada 115 hari, iaitu tiga hingga empat kali ganda dari jangka hayat sepatutnya,’’ ujarnya sambil memberi penerangan bahawa jangka hayat organisma ditentukan oleh kombinasi gen.

“Faktor pemakanan turut memainkan peranan. Kita boleh mengkaji sejauh mana faktor pemakanan memberi kesan kepada organisma. Sebagai contoh di negara ini yang kaya dengan biodiversitinya, kita boleh melihat sejauh mana ulam-ulaman membantu melambatkan proses penuaan seseorang atau mengekalkan sistem imunnya dengan lebih lama,’’ ujar beliau.

Nazalan juga berkata, contoh yang disebutkan memberi gambaran bahawa proses penuaan disebabkan oleh dua faktor utama iaitu dalaman (gen) dan luaran (pemakanan).  Tambahnya, jika seseorang itu mendapat kombinasi yang elok di antara kedua-duanya, besar kemungkinan ia akan dapat jangka hayat lebih panjang.

“Pun begitu, kita juga melihat apa gunanya jangka hayat yang panjang jika ia datang dengan pelbagai gangguan seperti nyanyuk, sakit, dan sebagainya. Justeru, di sinilah URICAS akan berperanan iaitu dalam menjalankan penyelidikan yang boleh menemukan sebarang cara untuk mengurangkan kebarangkalian seseorang yang berusia mendapat gangguan dalam keadaan genetik masing-masing,’’ ujar beliau.

Dengan adanya URICAS, Malaysia turut dilihat bakal beroleh manfaat dalam melahirkan saintis bertaraf global dengan hasil kajian dan penerbitan yang menjadi perbualan hangat dalam kelompok komuniti saintifik di seluruh dunia. Negara juga akan dapat melahirkan akademia yang mempunyai kepakaran tinggi yang boleh menyuntik peranan dalam merealisasikan hasrat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/uricas-bakal-pacu-penyelidikan-sains-penuaan

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2235

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024