USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM MENINGGAL DUNIA DALAM KEMALANGAN DI ACEH

IMG 20150312 WA0020

PULAU PINANG, 12 Mac 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menzahirkan perasaan sedih dan dukacita dengan kematian seorang pelajar USM yang terlibat dalam satu kemalangan di Aceh, Indonesia kelmarin.

Pelajar tersebut, Muhammad Izzamir Nabihan bin A. Majid, 23, meninggal dunia apabila bas yang dinaikinya bersama-sama 19 pelajar lain dan 6 orang kakitangan termasuk 5 orang pensyarah USM dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan berlaku di Jalan Lintasan Geumpang-Meulaboh Desa Bangkeh Aceh sekitar jam 7 petang semalam waktu tempatan.

Muhammad Izzamir adalah pelajar tahun akhir yang mengikuti Program Akademik Pendedahan Mineral Malaysia Indonesia (Malaysia Indonesia Minerals Education Exposure) yang baharu selesai melawat kawasan perlombongan arang batu di sana.  Dua orang pensyarah USM dilaporkan cedera dan sedang diberikan rawatan di hospital tempatan.

"Kami berasa amat sedih dengan kejadian ini dan berharap keluarga allahyarham dapat bersabar manakala keluarga para pelajar dan kakitangan USM lain yang terlibat akan diberikan bantuan sewajarnya oleh pihak USM, Konsulat Malaysia di Medan serta rakan-rakan alumni USM di Aceh dengan dibantu juga oleh pihak Universitas Syiah Kuala," kata Naib Canselor.

Jenazah pelajar berkenaan akan diterbangkan ke Medan sebelum dibawa ke Pulau Pinang yang dijangka sampai pada malam ini.

Pihak USM telah menubuhkan bilik gerakan bagi membantu urusan-urusan mangsa kemalangan dengan bantuan Konsulat Malaysia di Medan.

"Pasukan membantu juga akan dihantar ke Acheh untuk urusan-urusan membantu pelajar dan staf yang terlibat," tambahnya.

http://usmtv.usm.my/index.php/component/contushdvideoshare/player/2015/rombongan-akademik-usm-kemalangan-di-acheh

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 2957

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024