USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“RAPATKAN JURANG UNIVERSITI-INDUSTRI PENTING UNTUK KELANGSUNGAN MASA HADAPAN,” - MUTHARASU

IMG 20151128 WA0015

PULAU PINANG, 28 November 2015 - Peranannya sebagai Pengarah Jaringan Industri di Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM) amat mencabar dalam usaha mengukuhkan hubungan universiti dengan syarikat multinasional (MNC’s), Usahawan Kecil dan Sederhana (SMEs) mahu pun pertubuhan kerajaan untuk menarik pelaburan dana dan yang utamanya ialah membangunkan perkongsian dan menyatukan usaha dalam mewujudkan budaya berteraskan “discovery-driven” universiti dengan “innovation-driven environment” dalam kalangan industri.

Dr. Mutharasu Devarajan, 46, menganggap peranannya dalam membangunkan perkongsian strategik yang berteraskan hubungan profesional amat penting sebagai jambatan utama akademia dengan industri dan pada masa yang sama berusaha untuk memperkukuhkan nilai untuk mengiktiraf kepelbagaian objektif pemegang taruh dalaman.

“Kami berkongsi maklumat dengan industri tentang tugas utama ahli akademik dan kompeten penyelidikan universiti, atau dengan lebih mudah, kepakaran yang kita ada dan bagaimana untuk membuat padanan di antara kedua-duanya iaitu di antara sumber yang ada dengan kekuatan yang ada di dalam industri,” tambahnya lagi.

Menurut Mutharasu, pada masa ini kemajuannya agak memberangsangkan dengan kerja keras melalui pelbagai program dan skim yang ada namun perlu menerokainya dengan lebih mendalam untuk memahami kerencaman yang ada dalam memastikan kejayaannya pada masa hadapan dan yang utama ialah kita perlu memperjelaskan serta berkongsi kekuatan nilai yang memberi kelebihan kepada universiti apabila para penyelidik terlibat dalam menggerakkan cabaran yang terdapat dalam industri.

“Kita mempunyai banyak kisah kejayaan untuk mendorong lebih banyak usaha kolaborasi dengan industri, malah telah sampai masanya kita memperkasakan dan menilai hubungan sedia ada untuk menggiatkan lagi usaha untuk perancangan strategik jangka panjang kerana kenyataannya sekarang ini kita perlu meneruskan kelangsungan dalam kelembapan ekonomi dunia sejak 2007 dan membolehkan para penyelidik di universiti memanfaatkan peluang ini untuk menubuhkan kerjasama berasaskan keperluan dan permintaan industri dalam bidang berkaitan dengan kepakaran yang ada,” tegas Mutharasu.

Tambahnya lagi, modal intelektual di universiti masih lagi belum digunakan sepenuhnya seperti kawasan Kawasan Bebas Cukai (FTZ) Pulau Pinang kerana kurangnya keyakinan kedua-dua pihak yang pada asasnya kedua-dua pihak perlu membangunkan kepercayaan melalui komitmen dan kredibiliti kepakaran yang ada.

“BJIM USM misalnya mengambil beberapa langkah dan sistem yang berupaya menggerakkan perubahan yang melibatkan program-program baharu dari agensi awam dan swasta serta membentuk pelbagai ruang kerjasama melalui apa jua peluang yang ada,” katanya lagi.

Pada pandangannya, perlu berlaku perubahan paradigm (paradigm shift) set minda dalam kalangan ahli-ahli akademik untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan apatah lagi tatkala kerajaan mengurangkan dana penyelidikan disebabkan oleh perubahan ekonomi global dan mendapatkan dana dari pelbagai agensi kerajaan akan menjadi semakin getir.

“Bekerja bersendirian (dalam makmal) atau dengan kumpulan yang kecil tidak lagi berupaya memberikan impak yang besar berbanding dengan kolaborasi dengan industri yang lebih relevan dan inklusif melalui simbiotik eko-sistem yang melibatkan kerajaan-industri-akademia misalnya mewujudkan kerjasama untuk membangunkan kelompok penyelidik yang mempunyai persefahaman yang jelas tentang keperluan industri dan nilai perkongsian yang dilakukan, membangunkan keyakinan dengan industri yang kritikal untuk memahami keperluan, permintaan dan masalah yang boleh dilibatsama, interaksi yang lebih akrab dan komunikasi yang berkesan sebagai kunci utama hubungan efektif dengan industri dan meningkatkan mobiliti para penyelidik merentasi ekosistem industri-akademik sedia ada,” jelas Mutharasu.

Mutharasu sendiri sebagai seorang ahli akademik di Pusat Pengajian Sains Fizik USM memfokuskan usaha penyelidikannya dalam bidang “thermal management” untuk mikroelektronik dengan pengkhususan dalam “LED packaging” dengan mempunyai pasukan penyelidik yang sedang berusaha melakukan kajian tentang permintaan dan trend dalam industri LED.

Beliau mempunyai kelulusan Ph.D dalam bidang Teknologi Tenaga dari MK University dengan menerima fellowship berprestij Indian Institute of Science Bangalore India dan menyertai USM pada tahun 2005 dengan 12 tahun pengalaman dalam penyelidikan. Anak kepada seorang profesor ekonomi, hampir seluruh keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat dan Timur Tengah, manakala isterinya adalah seorang “Design Engineer” dengan Intel.

“Saya memilih Malaysia kerana keunikan pelbagai budaya, infrastruktur yang baik dan persekitaran hidup yang menarik dan memilih USM hasil carian di internet dengan menjadikannya destinasi utama dan pada tahun lalu mendapat status Penduduk Tetap (PR) Malaysia melalui sokongan USM, Talent Corp., Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri – saya sangat hargai peluang yang diberi ini,” kata Mutharasu.

Kini, tumpuan dan hasrat utamanya ialah untuk mengukuhkan hubungan dengan industri terutamanya yang melibatkan Usahawan Kecil dan Sederhana yang sedang bergelut dengan usaha pembangunan produk untuk kelangsungan masa hadapannya dan mendefinisikan semula peranan Universiti Penyelidikan sebagai sumber kompeten dengan visi kerjasama yang lebih bermakna untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam industri dan sosial.

“Masa telah banyak berubah dalam tempoh lima tahun ke belakang dengan keadaan ekonomi global dan kemungkinan pengurangan dana kerajaan terhadap R&D di universiti seluruh dunia yang perlu difahami oleh para penyelidik dalam menghadapi persaingan dalam kalangan rakan-rakan sekepakaran, manakala kemajuan dalam teknologi dan permintaan dalam industri yang memerlukan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam menghadapi kepesatan perubahan skop perniagaan,” kata Mutharasu.

Tegasnya, dengan adanya agenda permodenan sistem Pendidikan Tinggi Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) menjadikan pengukuhan hubungan pendidikan tinggi-penyelidik-industri sebagai satu keperluan mendesak mandatori untuk menggerakkan inovasi ke tahap yang lebih lestari dan mapan sebagai satu cara untuk menyumbang kembali kepada negara dan mengurangkan pergantungan dana penyelidikan kepada kerajaan.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 946

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024