USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JARINGAN INTEGRASI ASEAN PERLU DIPERKUKUH

IMG 0125

PULAU PINANG, 6 Mac 2015 - Jaringan integrasi yang kukuh dan mapan di antara  negara - negara Persatuan Negara Asia Tenggara      (ASEAN ) amat perlu dalam meniti arus globalisasi kini agar dapat bersaing secara sihat dalam melonjakkan ekonomi ASEAN.

Demikian menurut Mantan Ketua Setiausaha ASEAN Dr. Surin Pitsuwan yang hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berkongsi pengalaman beliau dalam memupuk dan mencapai integrasi di negara - negara ASEAN hari ini.

IMG 0111h

"Negara - negara ASEAN juga perlu mempraktikkan pelbagai bahasa agar dapat bersaing dengan negara-negara di luar ASEAN seperti Kesatuan Eropah ( EU)," ujar Surin.

Mengambil contoh negara Sweden yang mewajibkan tiga bahasa dipelajari di sekolah, Surin menegaskan bahawa 'multilanguages' amat perlu diterapkan dalam sistem pembelajaran sekolah berbanding hanya dua bahasa ketika ini kerana permintaan dunia dan semasa yang menekankan kelebihan sekiranya dapat berkomunikasi melebihi dua bahasa.

ASEAN merupakan sebuah  komuniti yang ditubuhkan semenjak 48 tahun lalu pada tahun 1967. Negara - negara ASEAN pada mulanya meliputi Malaysia, Singapura, Indonesia, Negara Thai, dan Filipina.Namun kini, ianya telah bertambah dengan kemasukan beberapa buah negara termasuklah Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Brunei.

IMG 0144

IMG 0158

 

"Kerjasama yang erat di antara negara-negara ASEAN khususnya mampu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi selain memperkukuh perhubungan sosial yang telah lama terjalin," ujar Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa ) yang mewakili Naib Canselor USM dalam ucapan aluannya.

Tambah Shukri lagi, negara -negara ASEAN perlu lebih kompetitif dan berdaya saing dalam mencapai matlamat agar terus memacu kecemerlangan di mata dunia.

Surin dilahirkan pada 28 Oktober 1949 dari keluarga berketurunan Melayu Thailand.Pendidikan awal beliau bermula di sekolah rendah dan menengah di wilayahnya sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Thammasat, Thailand selama dua tahun dan kemudian menerima biasiswa daripada Kolej Lelaki Claremont College di California, Amerika Syarikat (AS).

IMG 0151hj

IMG 0159

Beliau memiliki Ijazah Pertama BA Sains Politik (1972) Claremont College California (AS), Ijazah Sarjana (1974) dan PhD (1982) daripada Universiti Harvard.

Surin juga merupakan negarawan tersohor ASEAN yang memperjuangkan isu demokrasi, pembangunan lestari dan keselamatan kemanusiaan.

Mantan Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung ASEAN ini juga pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang -undang dari Universiti Bristol, United Kingdom (UK)  pada 30 Mac 2008 yang lalu.

Syarahan yang bertajuk "Fostering Cross - Cultural Dialogue In Achieving ASEAN Integration" ini turut dihadiri oleh konsul -konsul negara-negara ASEAN yang lain.

IMG 0176

Syarahan umum peringkat antarabangsa ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) dan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) dengan kerjasama Konsulat Diraja Thai, Pulau Pinang.

Hadir sama ialah Dekan PPBLT USM, Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi serta Konsul Thailand, Indonesia, Jepun dan Perancis. Teks: Siti Naquiah Abdillah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1880

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024