USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM MUNCUL JUARA DAN NAIB JUARA DALAM PERTANDINGAN REKA BENTUK ANJURAN UDA HOLDINGS

IMG 0003

KUALA LUMPUR, 26 Februari 2015 - Dua pasukan pelajar dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila mengungguli pertandingan Structura Design Challenge 2014 anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang julung kali diadakan.

Dua pasukan tersebut - 5 Men Studio dan The Catalyst - masing-masing muncul juara dan naib juara dalam pertandingan reka bentuk itu yang turut disertai oleh 26 buah pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta.  

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan telah hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Galeri UDA JSI di sini malam tadi. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA Datuk Mohamed Marzuk Basir.

Sebaik sahaja menerima berita kejayaan tersebut, Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman menzahirkan rasa gembira atas pencapaian pasukan USM itu.

“Pasukan ini telah membanggakan universiti dan kami semua di USM amat berbangga dengan kejayaan yang mereka perolehi ini.

"Saya turut berbangga dan mengucapkan syabas kepada semua di Pusat Pengajian HBP yang terlibat dengan harapan kejayaan terbaru ini akan mendorong semua pihak di universiti untuk terus bersama-sama bekerja keras mencapai kejayaan pada masa hadapan," kata Omar.

USM TEAM 2 (5 Men Studio) yang diselia oleh Profesor Madya Dr. Muna Hanim Abdul Samad memenangi tempat pertama dengan hadiah wang tunai RM50,000.00. Ahli-ahli pasukan USM TEAM 2 terdiri daripada Mun Kai Hoang, Lau Kar Choon, Nicolas Ng Jin Szach, Chew Hung Nien dan Saifudin bin Mohd Salim. Pasukan ini menampilkan konsep yang sederhana tetapi berkualiti. Mereka menggunakan “SPARKS” sebagai konsep utama.

IMG 0316

Sementara itu, USM TEAM 1 (The Catalyst) yang diselia oleh Profesor Ar. Dr. Abdul Malek Abdul Rahman memenangi tempat kedua, membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.00. Ahli-ahli pasukan USM TEAM 1 terdiri daripada Lim Ai Yin, Syamira Suib, Monica Caroline Shenton, Choo Siew Ying dan Chew Kah Heng. Pasukan ini menggunakan konsep NADI dalam reka bentuknya.

Kesemua pelajar itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina. 

Reka bentuk akhir dihasilkan bersama penyelia masing-masing melalui satu siri sesi krit yang dikendalikan oleh pensyarah Pusat Pengajian HBP iaitu Dekan Profesor Madya Dr. Aldrin Abdullah, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Profesor Madya Dr. Wan Mariah Wan Harun, Pengerusi Rancangan Senibina Profesor Dr. Ahmad Sanusi Hassan, Profesor Madya Dr. Azizi Bahauddin, Profesor Dr. Julaihi Wahid dan Dato’ Zulkarnain Harun.

Para peserta telah diberi tugasan untuk menghasilkan karya seni bina bahagian hadapan bangunan bagi projek Southern Sparks, yang bakal menjadi mercu tanda bangunan UDA yang akan didirikan di Tampoi, Johor.

Video reka bentuk seni bina bangunan yang dihasilkan oleh USM TEAM 1 & 2  boleh ditonton melalui YouTube.

5 Men Studio:  https://www.youtube.com/watch?v=w-kZ5sn82fQ

The Catalyst:   https://www.youtube.com/watch?v=yeXnmhQc0pk

Teks asal & foto: Prof. Ahmad Sanusi Hassan/Terjemahan: Nur Qaisara Jane Abdullah & Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 1881

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024