USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘SAYA TIDAK PATAH SEMANGAT’- KHAIRIL AMINUDDIN ATHIR

 DSC3079hhv

PULAU PINANG, 31 Ogos 2015 - Kegagalan untuk masuk ke mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan hanya 2A, tidak mematahkan semangat Khairil Aminuddin Athir Bakhari,20 untuk meneruskan cita-citanya ke menara gading dengan menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Berbekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 dalam STPM, Khairil Aminuddin Athir diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.

“Walaupun saya tidak dapat mengikuti bidang perguruan seperti kakak dan abang saya, namun saya akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya ketika ditemani ibu, Fatimah Abdullah, 53  dan ayah, Bakhari Mustaffa,55 mendaftar di USM semalam.

Khairil Aminuddin Athir adalah antara 334 orang pelajar yang diterima masuk ke USM malalui saluran khas iaitu Bottom Billion atau B40 yang bertujuan untuk membantu golongan tercicir dan kurang berkemampuan untuk terus menyambung pengajian di peringkat universiti.

 DSC2945dfg

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein pelajar B40 ini adalah dalam  kalangan keluarga yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) atau yang telah disahkan melalui lawatan sosial ke rumah-rumah bakal pelajar tersebut.

“Para pelajar ini diberikan potongan jumlah yuran pengajian dan akan ditawarkan biasiswa melalui Yayasan USM jika cukup syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh penyumbang,” ujar Adnan ketika mempengerusikan sidang media khas kemasukan pelajar di sini kelmarin.

Khairil Aminuddin Athir atau lebih mesra di sapa Fahmi adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan berasal dari Alor Setar, Kedah. Bapanya adalah seorang pesara swasta setelah lebih 21 tahun bekerja dengan PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS) sejak tahun 1994.

 DSC3050b

Fatimah yang mempunya empat orang cucu kini menjaga seorang anak jiran bagi menampung kehidupan seharian selain bantuan dari anak sulung, Khairuniza Bakhari,33 dan anak kedua Khairil Amri Bakhari,29 tahun yang mana masing-masing juga sudah berumahtangga.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada Fahmi selain berharap dia akan belajar bersungguh-sungguh,” ujar Bakhari.

 DSC3043hg

Semasa pendaftaran Bakhari sangat risau jikalau perlu membuat sebarang pembayaran dan berkata jika perlu, beliau terpaksa membawa Khairil Aminuddin Athir pulang kerana tidak mampu untuk membayar yuran tersebut. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1150

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024