USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SASAR 50,000 PENGUNJUNG: WARGA UTARA DIPELAWA SERBU KARNIVAL JOM MASUK IPT DI BERTAM

JOM MASUK IPT EDITKECIK

PULAU PINANG, 24 Februari 2015 – Warga utara khususnya masyarakat di negeri ini dipelawa untuk memeriahkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2015, Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi (Jom Masuk IPT) yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad (28 Februari dan 1 Mac) depan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam, Kepala Batas.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM selaku tuan rumah KPTN zon utara menjangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir bagi mengikuti program tersebut yang berperanan untuk mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baru yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik, Kolej Komuniti, ILKA, Bahagian Matrikulasi (BMKPM) dan institusi lain bagi Sesi Akademik 2015/2016.

Katanya, sejumlah 130 pempamer yang terdiri dari IPT, agensi-agensi kelayakan, badan pembiaya pendidikan dan sebagainya akan turut serta dalam program tersebut yang tampil dengan tagline “JOM MASUK IPT’’, 1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua untuk tahun 2015.

“Program ini juga menjadi platform untuk menyampaikan maklumat mengenai pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan ke IPTA yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

“Selain itu ia turut berperanan dalam memotivasi dan mendidik pemohon dalam menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi di IPT, Politeknik dan ILKA dalam negara serta agensi lain yang berkaitan dengan pendidikan tinggi,’’ katanya.

Omar juga berkata, antara yang menjadi sasaran adalah masyarakat dalam kalangan lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Asasi, Diploma, pelajar, guru-guru, guru kaunseling, kaunselor, ibu bapa, masyarakat setempat, pemimpin pelajar dan sebagainya.

Dalam pada itu, aktiviti yang dirancang termasuk pameran pendidikan yang komprehensif, selain disertai aktiviti sampingan seperti semakan syarat khas kelayakan program ke IPTA, Politeknik  dan ILKA melalui e-Panduan Permohonan Kemasukan ke IPTA dan e-Panduan Permohonan Kemasukan ke Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan ILKA .

Turut dimuatkan adalah sesi taklimat kenali IPTA/Politeknik, Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, liputan/temu bual radio secara langsung, cabutan bertuah dan kuiz serta pelbagai lagi.

USM selaku tuan rumah juga turut menyajikan kelainan pada pengajuran dengan acara-acara tambahan seperti pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma, kempen derma darah, program keusahawanan dan pameran oleh pelajar USM, pameran kenali ubat anda, pameran kesedaran kanser, ujian saringan mamogram untuk wanita dan sebagainya. - Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1988

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024