USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RADON BERUPAYA BERI PETUNJUK BENCANA ALAM

IMG 0287

PULAU PINANG, 10 Julai 2015 - Di sebalik kesan langsung radon, sejenis gas radioaktif yang boleh menyebabkan kanser paru-paru pada manusia dalam jangka panjang, ia turut berupaya menjadi petunjuk akan berlakunya bencana alam di muka bumi.

Pakar rujuk dalam bidang Sinaran, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar berkata, sehingga kini kebanyakan kajian radon lebih menumpukan kepada kesan langsung gas itu kepada kesihatan manusia.

Namun katanya, radon sebenarnya memberi manfaat lebih luas kerana terbukti dapat memberi petanda awal akan berlakunya bencana di muka bumi termasuk gempa dan tsunami.

IMG 0315

“Apabila ada geseran di permukaan bawah bumi, gas radon ini akan terbebas dan ia boleh diukur dengan alat pengukur radon. Kehadiran gas ini secara luar biasa dan bacaan tinggi menandakan akan berlakunya bencana alam.

“Hal ini secara tidak langsung dapat memberi amaran kepada manusia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan membantu mengelak kemusnahan yang besar,’’ katanya ketika mengupas Syarahan Umum Pelantikan Profesornya yang bertajuk Radon: Undangan Tertangguh di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal turut hadir bersama-sama lebih 200 tetamu mendengar kupasan menarik oleh beliau yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik USM.

Tambahnya lagi, selain menjadi petunjuk bencana, radon juga berupaya untuk menjadi langkah awal yang cepat dan jimat untuk pencarian sumber air, kajian geoterma, carigali petroleum dan eksplorasi mineral.

“Dalam proses biasa carigali petroleum misalnya, tenaga kerja dalam industri ini akan melakukan proses penggerudian untuk mencari minyak di bawah permukaan tanah dan proses ini melibatkan kos yang tinggi dan hasilnya belum tentu positif.

“Namun dengan mengukur radon, minyak boleh dikesan sebelum memulakan proses penggerudian dan ia nyata akan menjimatkan kos dan tenaga,’’ katanya.

Beliau juga berkata, radon pada asalnya terhasil dari gas uranium yang terkandung dalam tanah. Radon secara amnya tidak berbahaya sebaliknya yang membahayakan adalah pereputannya yang menghasilkan sinar alfa, penyebab kepada risiko kanser.

“Walau bagaimanapun, kehadiran gas radon dalam udara dapat diminimumkan dengan kaedah ventilasi yang sesuai dan mencukupi,’’ katanya.

Mohamad Suhaimi turut menjelaskan mengenai tajuk 'undangan tertangguh', perbincangannya tidak hanya melihat kepada gas radon semata-mata, sebaliknya turut melihat dari perspektif ketuhanan, falsafah dan kaitannya dengan alam sekitar.

Menurutnya, kerakusan manusia dalam mengadaptasi, mengeksplorasi serta mengeksploitasi sumber alam yang melampaui batasan menjadikan manusia ini terasing dari manusia  dan terasing dari Penciptanya.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini turut menjelaskan risiko dan kesan-kesan yang dihadapi oleh manusia pada masa kini akibat perbuatan manusia itu sendiri.

"Mereka tidak sedar akan bencana yang terjadi di muka bumi ini adalah hasil daripada kerja tangan manusia itu sendiri. Allah S.W.T menciptakan bumi ini dengan sebaik-baik kejadian, namun apabila kerakusan terjadi, mereka lupa akan undangan (malapetaka) yang tertangguh ini,’’ katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Syuhada Abd. Aziz/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1133

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024