USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TINGKATKAN LIBATSAMA KOMUNITI DALAM KALANGAN AHLI AKADEMIK MUDA, SERU NC

PULAU PINANG, 3 Julai 2015 - Ahli akademik terutamanya pensyarah-pensyarah muda diseru melibatkan diri di dalam program dan pembangunan libatsama komuniti bagi membantu universiti memperhebatkan pemindahan ilmu kepada masyarakat luar yang memerlukannya melalui ilmu dan kepakaran yang ada.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata sudah tiba masanya tenaga muda keluar dari kepompong akademik semata-mata kerana libatsama komuniti merupakan agenda penting universiti yang perlu diberi perhatian dengan sewajarnya.

"Saya menyeru agar para pensyarah muda dapat keluar dari kelompok paradigma penyelidikan dan akademik semata-mata dengan membantu mereka yang menantikan ilmu dan kepakaran dalam meningkatkan taraf hidup kumpulan sasaran ini," kata Omar.

Jelasnya, Majlis Sanggar Sanjung tahun ini juga akan turut memberikan pengiktirafan kepada penyelidik yang banyak melibatkan diri dalam aktiiviti pemindahan ilmu termasuklah ketokohan pembangunan insan.

Tambah Omar, pada masa yang sama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) akan terus berperanan penting memberikan pengiktirafan libat sama komuniti kepada warga kampus supaya usaha ini akan dapat dipertingkat.

Terdahulu Naib Canselor meluangkan masa beramah mesra dan berbuka puasa bersama-sama 30 orang anak-anak yatim dari rumah Nasyiatul Aisyiyah, Sungai Pinang, Balik Pulau anjuran Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) USM.

Anak-anak yatim tersebut diiringi oleh pasukan USM Bikers yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hassim Mat, bermula dari Taman Pekaka sehingga ke PPPBP.

Naib Canselor juga turut menyampaikan sumbangan berupa duit raya dan hamper kepada anak yatim dan barisan penjaga rumah tersebut.

Hadir sama ialah Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Timbalan-Timbalan Dekan serta warga PPPBP.

Aldrin mengharapkan program begini akan terus diperhebat oleh pusat pengajian agar golongan ini tidak akan dilupakan.

Tambahnya, projek komuniti oleh PPPBP telah bermula sejak tahun 2003 itu akan diteruskan dan diperbaiki demi menyahut seruan universiti meletakkan libatsama komuniti sebagai agenda utama pusat pengajian yang perlu dijayakan sepenuhnya. - Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1149

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024