USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWATAN PEMBEDAHAN BARIATRIK ATASI MASALAH OBESITI

11234915 10207029411918120 36644824050091747 n

KUBANG KERIAN, 2 Julai 2015 - Kegemukan bermasalah atau ‘morbid obesity’ ditakrifkan sebagai Indeks Jisim Badan (Body Mass Index - BMI) yang melebihi 35 hingga 40 serta mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Masalah ini berpunca akibat pengambilan lebihan kalori dan kurang melakukan senaman seterusnya menyumbang kepada gangguan terhadap kerja seharian, tidur berdengkur, sakit sendi terutama lutut, gastrik dan kemandulan.

Rawatan pembedahan merupakan salah satu cara untuk mengatasi masalah kegemukan selain rawatan popular secara berdiet yang memerlukan dedikasi tinggi dan penggunaan ubat yang akan mengundang kesan sampingan dalam jangka masa panjang.

Menurut  pensyarah Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Nizam Md Hashim, rawatan bariatrik seperti 'sleeve gastrectomy' adalah rawatan pembedahan mengecilkan perut.

"Pembedahan ini akan menyebabkan pesakit makan dengan kuantiti yang sedikit disebabkan saiz perut yang berkurangan dan mereka akan cepat berasa kenyang," katanya semasa ditemubual dalam program radio tempatan di sini.

Menurut Mohd Nizam, masyarakat masih belum menyedari tentang rawatan pembedahan ini yang sebenarnya masih baharu walaupun perlaksanaanya telah lama wujud.

11659408 10207029411438108 1444671795000105219 n

Tambahnya lagi, pembedahan ini  dapat membantu menyembuhkan penyakit sampingan yang lain dan dalam  jangka masa tertentu pesakit yang mengidap kencing manis dan darah tinggi akan mendapat manfaat seperti sembuh sepenuhnya atau berkurangan dari segi kadar pengambilan ubat semasa.

Mohd Nizam menjelaskan, pesakit biasanya terlebih dahulu akan diberi khidmat nasihat daripada pakar sebelum memberi persetujuan untuk meneruskan rawatan ini.

"Ini penting bagi setiap pesakit mengetahui keperluan melaksanakan pembedahan seperti tindakan awal sebelum pembedahan serta cara penjagaan selepas pembedahan supaya tiada kesan sampingan yang tidak diingini berlaku dan kerjasama pesakit dalam mematuhi keperluan ini amat diharapkan," kata Mohd Nizam.

Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob/Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 4500

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024