USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI PERLU KEMBALI KEPADA ASASNYA

11665622 10207020038603793 726412627491626305 n

Kuala Lumpur, 3 Julai 2015  - Universiti di negara ini perlu kembali kepada asas penubuhannya iaitu membantu dalam mewujudkan kesejahteraan masyarakat dalam semua kegiatannya.

Hal ini dibincangkan dalam Sidang Pleno 1 Konvensyen Kebangsaan Kepimpinan IPT Dalam Perekayasaan Kesejahteraan Sosial Negara anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bersama Majlis Profesor Negara (MPN) Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi ini.

Ahli akademik negara, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kita perlu melihat negara atau bangsa sebagai tempat kewujudan kita semua dengan pelbagai fungsi dalam segala-galanya yang tertumpu kepada kesejahteraan dalam negara dan oleh warga negara serta wujudnya institusi pendidikan tinggi dalam konteks kenegaraan, masyarakat dan negara, yang bukan institusi terasing tetapi terbentuk untuk kepentingan masyarakatnya.

"Fungsinya mestilah tidak terasing dan kembali kepada asasnya sebagai institusi masyarakat dan kenegaraan untuk melaksanakan segala objektif yang ingin dicapai oleh bangsa dan negara dalam bina kesejahteraan bangsa dan negara, serta paradigmanya mesti berteras kepada masyarakat," kata Zainal.

Tegasnya universiti bukan memainkan peranan "tanggungjawab sosial korporat" (CSR) tetapi "tanggungjawab menyeluruh" menjurus kepada keutamaan masyarakat dan negara serta fokus kepada usaha penyelesaian masalah masyarakat.

"Universiti bukan hanya mendidik dan memberi pandangan dalam penulisan dan kajian tetapi perlu turut sama terlibat dalam menyelesaikan masalah masyarakat secara langsung yang bukan sekadar keseronokan akademik untuk membangunkan teori," jelas Zainal.

Tambahnya lagi ini termasuklah mendidik dalam soal etika dan integriti yang perlu didedahkan dalam kalangan mahasiswa agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kerana mereka nantinya akan kembali berada dalam masyarakat.

11705321 10207020041083855 6271795605351700723 n

Beliau turut meminta agar universiti dapat meningkatkan usaha melalui pendidikan falsafah sosial dalam menerangkan makna, implikasi dan penjelasan serta kefahaman terhadap setiap isu yang berbangkit dalam pelbagai usaha yang dibuat dengan menakrifkan segala implikasi terhadap setiap dasar yang dibangunkan.

"Kita tidak ada takrif kesejahteraan sosial mahu pun pelbagai dasar yang ada kerana pendidikan falsafah sosial sudah makin diketepikan arus pemikiran dalam negara misalnya erti sebenar demokratik yang  membenarkan individu mempunyai peranan terpenting seperti amalan di Barat sedangkan dalam konteks Malaysia, dengan kepelbagaian yang ada, kita perlu menekankan terhadap kepentingan masyarakat," kata Zainal.

Sementara itu, Ketua Kluster Pembanguan Sosial dan Kesejahteraan MPN Profesor Datuk Dr. Roziah Omar berkata, dalam membina masyarakat maju dan sejahtera bukan hanya berkisar sekitar falsafahnya tetapi memerlukan strategi yang berkesan untuk masyarakat makmur dan sejahtera seperti mana yang ditunjukkan dalam perancangan Rancangan Malaysia termasuk yang terbaharu.

"Antara cabaranya ialah bagaimana mempertahankan  nilai-nilai murni yang ada apabila semakin besar masyarakat kita tinggal di bandar dengan nilai mereka yang tinggal dalam kawasan luar bandar," kata Roziah.

Tambahnya lagi, Dasar Kesejahteraan Sosial Negara yang diperkenalkan pada tahun 2003 dengan kandungan yang lengkap tetapi terdapat banyak kekangan pada peringkat pelaksanaan dengan cabaran yang dihadapinya antaranya kelestarian ekonomi, pembangunan sosial, keselamatan sosial, ekologi sosial dan kestabilan politik negara. 

"Kita berhadapan dengan banyak cabaran sosial seperti penagihan dadah, globalisasi dan nilai, institusi keluarga yang semakin retak, kebergantungan kepada teknologi, sistem sokongan untuk warga emas, isu pendatang asing dan banyak lagi," tambah Roziah.

Beliau juga meminta agar universiti-universiti memain peranan untuk memperkukuhkan agenda kesejahteraan sosial termasuk peranan AKEPT  meyakinkan kepimpinan Universiti untuk melihat kepentingan sains sosial dan bagaimana untuk hidupkan semula fakulti yang menekankan kepada kerja sosial dan sains sosial yang seimbang dengan pembangunan ilmu dalam  S & T serta mendidik budaya kesukarelawanan.

"Di samping itu kolaborasi  di antara penjawat awam dalam kalangan pelaksana termasuk menterjemah sesuatu idea dalam pelaksanaan dasar sangat penting melalui gabungan ahli akademik dengan penjawat awam sebagai pelaksana dasar apatah lagi selama ini sebahagian orang akademik bergerak secara silo termasuk menjana idea-idea baharu dalam kalangan pensyarah muda," kata Roziah.

Sementara itu Setiausaha Politik, Datuk Dr. Marzukhi Mohamed pula berkata ketaksamaan dalam masyarakat masih menjadi masalah dan universiti  juga boleh memainkan peranan dalam hal ini termasuk dalam menangani isu-isu kesejahteraan. 

"Misalnya bagaimana melahirkan manusia yang berintegriti dan beramanah, tidak menyeleweng dan nilai-nilai utama masyarakat lainnya dalam melahirkan siswazah yang dapat memacu kecemerlangan negara secara beramanah, jujur dan tidak mudah memanipulasi untuk kepentingan diri seperti dalam perniagaan," katanya.

Konvensyen sehari itu disertai oleh kira-kira 170 orang dalam kalangan ahli akademik dan mereka yang terlibat dalam kerja sosial. Teks dan Foto : Mohamad Abdullah 


  • Created on .
  • Hits: 1405

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024