USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

I-10 IPPT ANTARA YANG UNGGUL DI EKSPO TAHUNAN PRODUKTIVITI

ippt1

KUALA LUMPUR, 26 November 2014 - Pasukan Inovatif dan Kreatif (Innovative and Creative Circle - ICC) yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai I-10 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya diiktiraf sebagai antara 10 pasukan terbaik dalam Ekspo dan Persidangan Produktiviti dan Inovasi yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre di sini sejak 24 November lalu yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan MITI bersempena Asia Pacific Quality Conference (APQC).

Kemenangan mereka diumumkan dalam Majlis Makan Malam sempena espo dan persidangan tersebut pada malam ini yang dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria. Hadir sama ialah Pengerusi MPC Tan Sri Azman Hashim, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

USM menghantar 6 pasukan bertanding dalam National Team Excellence Convention (ICC 2014) dengan 4 daripadanya memenangi emas 3 bintang dalam kategori sektor awam iaitu Rehab Inspire, I-10, Protech Endocrine dan Rehab Solver. Manakala 2 pasukan yang memenangi emas 2 bintang ialah G-Smart dan Seiketsu.

Kira-kira 211 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang melibatkan sektor awam, swasta dan perkhidmatan.

Satu pasukan lagi yang mewakili USM untuk National Team Excellence Convention Kategori QE/5S turut memenangi emas 3 bintang iaitu pasukan SHAPPHIRE dari Hospital USM.

ippt2
Sementara itu Ketua Kumpulan I-10, Marhan Mahamad yang mewakili semua ahli-ahlinya melahirkan perasaan gembira dengan kejayaan yang dicapai apatah lagi berada di antara 10 pasukan terbaik sektor awam dan dijangka berpeluang mewakili negara ke pentas antarabangsa kelak.

"Kami amat terharu dan bersyukur dengan kejayaan inovasi dan kreativiti kami dalam menghasilkan pelapik tilam kecemasan sejajar dengan objektif IPPT  yang berdaya saing dalam bidang penyelidikan dan berinovasi tinggi,"kata jururawat IPPT itu.

Tambahnya,  1-10 menghasilkan pelapik tilam keselamatan tersebut bagi memudahkan pesakit kritikal dialihkan ke tempat lebih selamat ketika berlaku kecemasan,  yang kami percaya satu-satunya seumpama ini di dunia sebagai tilam pesakit yang dapat digunakan dengan mudah termasuk untuk membawa pesakit menuruni tangga dalam bangunan ketika berlaku kes kecemasan.

Berteraskan slogan Berinovasi, Idea dan Inovasi, pasukan yang dianggotai oleh 10 ahli ini memulakan usaha mereka sejak bulan Ogos 2013 dan dilakukan penambahbaikan secara berterusan sehingga Jun 2014. Mereka dibimbing oleh Pengurus Kanan (Farmasi & Kelestarian) IPPT Md. Hisham Abd. Razak yang bertindak sebagai fasilitator.

Naib Canselor kemudiannya bertemu dan mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan menzahirkan perasaan bangganya dengan  pencapaian gerakan kualiti, produktiviti, inovasi dan kreativiti USM.

"Saya percaya banyak lagi yang boleh kita lakukan pada masa hadapan dalam memastikan usaha seperti ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan yang tinggi tetapi juga dapat membawa universiti ke tahap yang tinggi melalui penghasilan produk untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos dalam proses kerja serta menjadikan budaya kerja berteraskan inovasi dan kreativiti dapat diterapkan pada semua peringkat dan proses kerja," kata Omar. Teks & Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1044

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024