USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR JEPUN RASAI KEPELBAGAIAN MALAYSIA

PPIPJEPUN1

PULAU PINANG, 26 Nov.2014 – Seramai 11 pelajar Hiroshima University (HU), Jepun teruja dapat merasai kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di negara ini, khususnya dalam kalangan warga Universiti Sains Malaysia (USM).

Kesemua mereka adalah kumpulan ketiga dari HU yang menyertai HU-USM Student Exchange Forum yang berlangsung dari 22 hingga 30 November  depan di USM, yang turut disertai oleh 12 pelajar USM meliputi pelbagai pusat pengajian (PP) termasuk PP Ilmu Pendidikan, PP Sains Kemasyarakatan, PP Teknologi Industri dan sebagainya.

Wakil pelajar HU, Mutsumi Eda berkata, pihaknya teruja diberi kesempatan untuk berada di USM dan mendalami kepelbagaian yang wujud, selain mengikuti pelbagai program akademik yang memberi manfaat dalam pembangunan kendiri mereka.

``Kami banyak bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi kepelbagaian budaya yang wujud di kedua-dua negara. Program ini sangat relevan dengan dunia semasa yang menuntut pelajar untuk mempunyai set minda global dan berdaya saing.

``Kami di HU amat gembira menyertai program ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk menjamin rangkaian yang telah dibangunkan sejak mula diperkenalkan terus kukuh dan berkembang,’’ katanya.

PPIPJEPUN2

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, para pelajar disaran agar dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran berinteraksi di peringkat global dan membangunkan rangkaian kerjasama dengan rakan-rakan di negara lain.

Katanya, forum seumpama ini menjadi platform untuk para pelajar memulakan langkah dalam memperluas jaringan usahasama dalam kalangan mereka di arena antarabangsa dan mengadakan perbincangan lebih intensif berkaitan pembangunan pendidikan secara global.

``Cari rakan, berkolaborasi dan manfaatkan diversiti yang wujud untuk meneroka peluang menambah kemahiran dan meningkatkan potensi masing-masing. Pelajar adalah masa depan sebuah negara kerana bakal menjadi pemimpin satu hari kelak.

``Luaskan jaringan kerjasama dan terokalah ilmu di mana jua anda berada. USM sentiasa komited menyokong usaha-usaha pelajar dalam membina rangkaian mereka untuk manfaat bidang ilmu apatah lagi ianya berkonsepkan kerjasama antarabangsa,’’ katanya.

PPIPJEPUN3

Beliau berkata demikian dalam sesi ramah-mesra bersama delegasi HU dan pelajar USM yang terlibat dengan forum tersebut di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Dekan PPIP, Prof. Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed dan Ketua Delegasi HU, Prof. Norihiro Kuroda. Teks:Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1175

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024