USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MAMPU LAHIRKAN ATLET BERPRESTASI TINGGI, KATA NC

DSC 9932

PULAU PINANG, 22 November 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) mampu melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi (high performance athletes, HPA) dalam kalangan atlet mahasiswanya yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan tetapi juga dari segi akademik.

Berucap merasmikan Seminar ‘Strength and Conditioning For The High Performance Athletes’ di sini baru-baru ini, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, atlet berprestasi tinggi merupakan segolongan insan berbakat istimewa yang bukan setakat mencapai tanda aras (benchmark) yang tinggi dalam sukan yang diceburi tetapi sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi mereka dalam bidang sukan mahupun akademik.

“Saya sedar bahawa ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana golongan atlet ini tidak dapat menjalani latihan sepenuh masa ketika menyediakan diri untuk menyertai acara sukan yang dipertandingkan kerana perlu juga mengikuti kuliah dan tutorial serta menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah pada masa yang sama.

DSC 0419

“Di sini ia memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi, pengurusan masa yang baik serta perancangan yang sistematik dan strategik apatah lagi mengikuti gaya hidup yang boleh menjadi “role model” kepada mahasiswa yang lain.  

Tambah Omar lagi, pihak universiti perlu memastikan bakat yang dimiliki oleh golongan atlet ini sentiasa digilap dan diperkembangkan lagi ke tahap optimum melalui program latihan tersusun serta aplikasi sains sukan dan pengurusan sukan yang mantap.

“Justeru itu, seminar seumpama ini diharapkan dapat membekali para pesertanya dengan pengetahuan terkini tentang sains sukan, pengurusan sukan berteraskan penyelidikan, program latihan komprehensif berorientasi kaedah baru, dan sistem amalan nutrisi yang betul lagi berkhasiat,’ jelasnya.

Seminar selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM dan Bahagian Sukan, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

DSC 0414

Seramai 49 peserta terdiri daripada pegawai, jurulatih dan atlet mengikuti seminar tersebut termasuk 19 pegawai sukan dan pelajar dari universiti awam dan swasta di Malaysia serta 14 atlet kelab renang dan hoki USM.

Sementara itu, ketika ditemui pihak media selepas majlis perasmian, Omar berkata, USM juga merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan yang memberi tumpuan kepada sukan berprestasi tinggi dalam kalangan atlet mahasiswanya.

“Pusat ini mungkin ditempatkan di Kompleks Sukan USM-Azman Hashim yang kini sedang dibina dan selain digunakan sebagai pusat rujukan serantau, ia boleh dijadikan sebagai pusat pemulihan (‘rehabilitation’) dan ‘reconditioning’ atlet serta penganjuran pelbagai program latihan terancang.

“Dengan prasarana dan kemudahan sukan yang terdapat di pusat kecemerlangan ini diharap dapat membantu dalam memacu dan melonjakkan mutu dan kecemerlangan pembangunan sukan di USM dan negara ke tahap tertinggi,” katanya.

DSC 0439

Pada masa yang sama, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd Hanif turut merakamkan penghargaan kepada pihak Institut Pergigian dan Perubatan Termaju (IPPT) USM di Bertam kerana menyediakan tempat serta kemudahan makmal kecergasan dan peralatan jimnasium untuk diguna pakai bagi sesi praktikal seminar ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah penceramah jemputan yang juga pensyarah kanan dari IPPT USM Dr. Ahmad Munir Che Muhamed. Penceramah lain yang dijemput ialah Dr. Ooi Cheong Hwa juga dari IPPT USM dan Profesor Madya Dr. Ahmad Naim Ismail, pensyarah dari UiTM yang juga Jurulatih Kecergasan Bertauliah American Council on Exercise. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1337

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024