USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUMPU PENGURUSAN KEJAT 2015

DSC 0017

PULAU PINANG, 1 Disember 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyatakan hasrat universiti untuk menumpukan kepada pelaksanaan pengurusan kejat atau "lean management" yang lebih cekap, berkesan dan produktif dalam menghadapi cabaran dan persaingan pada masa hadapan.

"Kita perlu memantapkan proses pengurusan dengan melihat kepada yang berlakunya kerja-kerja yang bertindan dan bertindih untuk dikurangkan dan diselaraskan, berteraskan kepada konsep pengurusan kejat yang sebenarnya telah pun bermula termasuk melaksanakan program naziran untuk tingkatkan produktiviti kakitangan," kata Omar kepada kira-kira 300 orang kakitangan Bangunan Canselori USM yang menghadiri Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.

DSC 0021

Tambahnya, ini dilakukan melalui usaha Jabatan Pendaftar yang sedang mewujudkan pengurusan yang lebih cekap dan berkesan dengan melihat kepada pencapaian individu yang dikaitkan dengan keperluan mencapai objektif jabatan dan universiti seperti yang dibincangkan secara terperinci dalam Majlis Pembangunan Sumber Manusia.

"Prestasi yang jelas dan jitu akan menyumbang kepada pencapaian pusat pengajian dan pusat tanggungjawab yang akan nantinya memberi sumbangan bermakna kepada prestasi universiti secara keseluruhannya," tambahnya lagi.

DSC 0028

Menurut Omar, USM perlu bergerak sebagai entiti yang kohesif dan berupaya menggabungjalin usaha meningkatkan prestasi individu dan pencapaian universiti serta pada masa yang sama membantu mereka bermasalah untuk keluar dari masalah yang dihadapinya dan terus meningkatkan prestasinya.

"Seseorang warga USM perlu sedar yang kita berada dalam satu ekosistem yang berkait rapat dengan ekosfera universiti untuk menggerakkan kekuatan bersama yang ada sesuai dengan hasrat pembangunan insan yang utuh dan berintegriti mengikut tuntutan agama," kata Naib Canselor.

Hadir sama dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustafa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. See Ching Mey, Pemangku Bendahari, Rohayati Md. Isa dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Khairul Anam Masal.

DSC 0010

Pada majlis tersebut Naib Canselor turut merakamkan ucapan takziah kepada mantan Bendahari Puan Salmiah Che' Puteh atas pulangnya ke rahmatullah bondanya pada pagi ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga USM yang banyak menyumbang kepada pencapaian USM sepanjang 2014. - Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1300

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024