USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UNGGULI PENTAS AKHIR PESTA HOKI

hoki2

PULAU PINANG, 7 Dis. 2014 – Dua pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli pentas akhir kategori liga perdana Pesta Hoki USM-Penang International edisi ke-41 yang berkesudahan menyaksikan USM NT (Nibong Tebal) menjuarai kategori utama tersebut dengan jaringan 3-1.

USM NT yang dibarisi pemain-pemain handalan dari kampus kejuruteraan USM Nibong Tebal menewaskan Kelab Sukan Staf  USM (KSS USM) (induk) dalam perlawanan yang turut dimeriahkan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir pada kejohanan yang menjadi tumpuan peminat-peminat hoki di rantau Asia itu ialah Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Tuanku Zara berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori utama Liga Perdana dan Terbuka Lelaki Klasik.

hoki1

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya berkata, USM sentiasa memberikan pengupayaan kepada mahasiswanya untuk melibatkan diri dalam mengelolakan aktiviti kampus dengan sepenuh kebebasan.

Katanya pelajar diberi peluang melakukan apa jua aktiviti dengan kreativiti masing-masing dalam usaha Universiti menyediakan mereka menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan.

``Pesta Hoki adalah antara komitmen dan kesungguhan jitu yang ditunjukkan oleh para pelajar, sehingga jenamanya telah begitu berkembang dan dikenali merentasi batas negara,’’ ujarnya.

Tambah beliau, pada tahun ini lima buah negara telah menghantar lebih dari 30 pasukan, antaranya Pakistan, India, Sri Lanka, Thailand dan juga Taiwan.

hoki3

Pesta Hoki USM-Penang International yang ke-41, satu-satunya karnival hoki yang telah empat kali diiktiraf sebagai kejohanan hoki yang terbesar dan “The Longest Non-Stop Hockey Tournament” di Malaysia dalam Malaysian Book of Records.

Kejohanan yang turut memperlihatkan bakat-bakat muda sukan hoki negara ini yang bertemakan “Our Passion, Our Game, Our Legacy” menawarkan pelbagai kategori termasuk Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, IPT Terbuka, Lelaki Junior Bawah 18, Perempuan Junior Bawah 18, Lelaki Bawah 12 dan 15 serta Perempuan Bawah 12 dan 15. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1333

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024