USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI SELURUH WARGA STAF

jasadikenang

PULAU PINANG, 11 Disember 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meraikan seramai 211 staf yang telah tamat perkhidmatan dengan USM samada bersara wajib atau pilihan bagi Kampus Induk dan juga Kampus Kejuruteraan dalam Majlis Jasamu Dikenang.

Turut diraikan ialah 35 orang staf yang telah menabur bakti di universiti tercinta selama 25 tahun melalui Anugerah Sanjungan Budi 2014.

“USM sangat menghargai semua staf yang telah berjasa dan telah memberikan tumpuan yang tidak berbelah bagi dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Bagi staf yang telah bersara, saya yakin semuanya telah cukup bersedia untuk menghadapi dan mengatur strategi untuk menghadapi dunia persaraan dan jika diimbas kenangan bersama USM pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan,” ujar Pemangku Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Turut menyampaikan ucapan ialah Presiden Kelab Jasa Budi, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Amir Awang yang menyeru supaya semua pesara menyertai Kelab Jasa Budi yang mana dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pesara dan juga terus memberikan sumbangan kepada USM.

jasadikenang2

“Sertailah beramai-ramai Kelab Jasa Budi dengan hanya RM25 bagi setiap pesara dan separuh harga untuk pasangan bagi mewujudkan jaringan yang baik di antara semua,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, USM juga memberikan penghargaan kepada enam orang waris staf daripada 10 orang yang telah meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

Majlis Jasamu Dikenang dan juga Anugerah Sanjungan Budi 2014 adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Seksyen Perkhidmatan dan Saraan, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar USM dan semua penerima memperolehi sijil dan juga seutas jam tangan.

Staf di Kampus Kesihatan akan diraikan dalam majllis yang berasingan di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian.

Turut hadir ialan isteri Pemangku Naib Canselor, Datin Dr Aishah Knight Abd. Shatar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan dan isteri Datin Suraiya Kassim dan juga Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid serta suami Abdul Rahim Ismail dan juga Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr Zainal Ariffin Mohd Ishak. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 2034

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024