USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KENDURI SEKAMPUNG PUPUK KERJASAMA DAN ERATKAN PERPADUAN SEMUA KAUM

sekampung1

PULAU PINANG, 13 Disember 2014 – Projek Kenduri Sekampung 2014 yang dikolaborasikan bersama Majlis Penghuni Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun disifatkan sebagai antara medan terbaik memupuk semangat bekerjasama dan mengeratkan perpaduan kaum khususnya di kampus Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, aktiviti yang dilaksanakan ini juga sebenarnya dapat mengasah sifat kepimpinan yang lebih tinggi disamping melatih mahasiswa menjadi lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat luar.

‘Walaupun aktiviti yang dilakukan lebih kepada yang tidak formal, namun sebenarnya ia dapat mengajar mahasiswa tentang proses perancangan yang sempurna, penelitian, kerja berpasukan dan bagaimana mengukuhkan ketahanan mental dan fizikal.’

Tambah beliau lagi, Universiti sentiasa memberi galakan dan dorongan disebabkan program seumpama ini juga adalah salah satu dari aktiviti pembelajaran yang pastinya memberi impak positif kepada setiap yang terbabit.

Pengarah projek, Abd. ‘Azim Roslan, mahasiswa tahun pertama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, menyifatkan tema ‘penyucian diri’ yang dipilih diharap dapat memberi ilmu pengetahuan yang sangat berguna kepada semua.

“Kaunter-kaunter pameran yang disediakan, lengkap dengan pelbagai informasi contohnya cara berkhatan bagi masyarakat Melayu, dan juga kaedah-kaedah penyucian diri yang sentiasa diamalkan agama lain seperti Hindu dan Buddha.”

Program yang berlangsung selama dua hari ini turut diselitkan dengan ceramah oleh Ustaz Zayd Zhari dari Pusat Islam USM, solat hajat, aktiviti merewang, memasak bubur lambuk, dan permainan tradisional seperti congkak, dam ular yang juga turut disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Teks/Foto : Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 2591

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024