USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IGNITE 2014 PERKUKUH KERJASAMA USM DAN TUT DALAM TEKNOLOGI INOVATIF

DSC 0255

PULAU PINANG, 16 Disember 2014 – Persidangan International Conference of Global Network for Innovative Technology (IGNITE 2014) kali kedua hasil penganjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Toyohashi University of Technology (TUT) disifatkan sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua institusi tersebut dalam bidang teknologi inovatif kejuruteraan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, ia juga membuka ruang untuk memperluaskan jaringan kerjasama kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut dengan pihak industri kejuruteraan dan elektronik khususnya yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Koridor Utara Semenanjung Malaysia dalam bidang berkaitan.

“Selain itu, dengan tertubuhnya TUT-USM Technology Collaborations Centre, Penang di sini tahun lalu yang merupakan kampus satelit TUT yang pertama di luar negara Jepun, program pertukaran pelajar untuk latihan praktikal atau industri telah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur antara USM dan TUT. 

DSC 0006lk

“Misalnya kumpulan pertama seramai 20 orang pelajar TUT telah menjalani latihan industri (industrial internships) pada awal tahun ini di Pusat berkenaan setelah mengikuti program pengenalan dan penyesuaian (familiarisation programmes) yang disediakan dan dikendalikan oleh USM,” kata Ahmad Shukri ketika berucap mewaklili Naib Canselor USM di majlis perasmian dan makan malam IGNITE 2014 yang diadakan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

IGNITE 2014 yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 14 hingga 16 Disember itu berjaya mengumpulkan hampir 80 peserta dari pelbagai latar belakang termasuk penyelidik, cendekiawan, ahli-ahli sains dan profesional serta pelajar, majoritinya dari Malaysia dan Jepun, untuk membentangkan 73 kertas kerja tentang kemajuan teknologi dan hasil penyelidikan inovatif mereka dalam pelbagai bidang aplikasi seperti ‘imaging and sensing’, tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), peranti elektronik, robotik dan teknologi automasi, rekabentuk dan pembungkusan sistem elektronik (electronic system design and packaging).

Tambah Ahmad Shukri, USM berharap dapat menjalin kerjasama yang lebih erat lagi dengan TUT dalam bidang akademik, penyelidikan, konsultansi dan libatsama komuniti/industri dalam usaha memartabatkan lagi kedudukan kedua-dua universiti sebagai pusat kecemerlangan teknologi kejuruteraan di rantau ini.

DSC 0059

Dalam pada itu, Presiden TUT merangkap Presiden The Science Council of Japan Dr. Takashi Onishi menyifatkan kerjasama TUT dan USM dalam penganjuran bersama IGNITE 2014 telah membuka satu lagi lembaran baru dalam perkongsian teknologi inovatif tinggi demi pembangunan kelestarian yang beliau percaya bukan sahaja dapat memanfaatkan TUT dan USM malah negara Jepun dan Malaysia dalam jangka panjang.  

Di majlis yang sama, TUT juga telah menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Pengerusi dan Presiden Mini-Circuits Technologies yang juga Penasihat  Usahawan Muda Malaysia dan Pengerusi Majlis Pengurusan SME, Dato’ Seri Kelvin Kiew Kwong Sen atas pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan beliau dalam jalinan kerjasama antarabangsa antara pihak kerajaan, industri dan akademia termasuk penubuhan TUT-USM Technology Collaborations Centre di Pulau Pinang.  

Di majlis makan malam, para kenamaan dan peserta yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian daripada kumpulan ADIKARMA USM Kampus Kejuruteraan serta pemuzik dan penyanyi Dewan Budaya USM.

Selain USM dan TUT, penganjuran IGNITE 2014 turut mendapat kerjasama Nagaoka University of Technology dan Institute of National Colleges of Technology, Japan (KOSEN) dan tajaan syarikat perindustrian terkenal seperti Silterra, Mini-Circuits dan Measurement & Metrology Group (M&M).

Hadir bersama ialah Konsul-Jeneral Jepun di Pulau Pinang Ryuji Noda dan isteri, Presiden Pertubuhan Jepun Pulau Pinang yang juga Pengarah Urusan Toray Industries (Malaysia) Sdn Bhd Hiroshi Yoshimura, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak, Pengerusi bersama IGNITE 2014 merangkap Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM dan Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM Profesor Dr. Mohd Zaid Abdullah, Pengerusi bersama IGNITE 2014 merangkap Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Maklumat Elektrik dan Elektronik TUT Profesor Dr. Akihiro Wakahara serta pengucaptama jemputan IGNITE 2014, pegawai-pegawai utama USM dan TUT.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1748

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024