USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC TERIMA KUNJUNGAN PRESIDEN TUT

DSC 0064

PULAU PINANG, Disember 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman baru-baru ini telah menerima kunjungan hormat Presiden Toyohashi University of Technology (TUT) Dr. Takashi Onishi bersama 8 orang pengurusan tertingginya.

Tujuan kunjungan delegasi TUT itu adalah untuk berkongsi dan bertukar-tukar idea dengan pihak USM bagaimana hendak memperluaskan lagi kerjasama yang sedia terjalin serta berbincang tentang beberapa bidang kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang mungkin di antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat ini.

DSC 0074s

Antara program usahasama TUT-USM yang telah dijalankan dengan jayanya ialah program ‘internship’ industri antarabangsa yang bermula sejak 2013, program latihan staf akademik global TUT, kolaborasi akademik dan penyelidikan, program Sekolah Musim Panas (Summer School Programme), dan penganjuran persidangan tahunan International Conference of Global Network for Innovative Technology (IGNITE).

Menurut Onishi, selain itu, TUT juga amat berbesar hati kerana telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam pameran penyelidikan sempena Karnival Universiti Penyelidikan yang dihoskan oleh USM pada 13-14 Jun 2014.

DSC 0100

“TUT berterima kasih kepada USM dan beberapa pihak lain kerana atas sokongan dan kerjasama USM, TUT telah berjaya menubuhkan kampusnya yang pertama di luar negara Jepun dinamakan TUT-USM Technology Collaboration Centre di Pulau Pinang pada penghujung tahun 2013.

“Dengan penubuhan Pusat tersebut, akan memudahkan penghantaran dan penempatan pelajar-pelajar TUT untuk menjalani latihan industri di luar negara Jepun, seperti yang berlaku apabila kumpulan pertama pelajar TUT seramai 20 orang telah memulakan latihan industri di Pulau Pinang pada awal tahun ini,” kata Onishi.

DSC 0119

Dalam pada itu, Omar berkata, USM boleh terus bekerjasama dengan TUT dalam penawaran program-program usahasama di peringkat sarjana muda dan pasca siswazah, misalnya program Sarjana dalam Pembangunan Kejuruteraan Awam, Sains Hayat dan Sains Bahan.

“USM sentiasa menyokong dan menerima baik program seumpama ini kerana ia akan menggalakkan lebih mobiliti pelajar di antara Malaysia dan Jepun di samping mendedahkan kepada para pelajar pengalaman bekerja dalam persekitaran yang lebih global dalam usaha universiti bagi melahirkan graduan-graduan yang mempunyai set minda global.

DSC 0149

“Ia juga membuka peluang untuk mengadakan pertukaran staf akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti dalam bidang-bidang kepakaran bersama serta menggalakkan perkongsian dan pemindahan ilmu khususnya yang menjurus kepada keperluan industri di kedua-dua negara berkenaan,” kata Omar.

Antara delegasi TUT yang turut hadir di perjumpaan meja bulat selama hampir 45 minit itu ialah Timbalan Presiden TUT Profesor Dr. Mitsuteru Inoue, Penasihat Presiden (Hal-Ehwal Antarabangsa) TUT Profesor Dr. Atsunori Matsuda dan Penasihat Presiden TUT Prof. Dr. Soji Hamajima. USM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak, dan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) Profesor Madya Dr. Lee Keat Teong.

Onishi berada di Pulau Pinang untuk menghadiri persidangan IGNITE 2014 yang berlangsung dari 14 – 16 Disember 2014. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1617

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024