USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PANTAU DAN SEDIA BANTU MANGSA BANJIR

IMG 20141223 WA0014

PULAU PINANG, 23 Dis. 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuat pemantauan keadaan semasa banjir terutamanya di Kelantan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, pihak universiti akan menggerakkan segala sumber yang ada untuk membantu apa sahaja yang boleh bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.

"Di Kelantan misalnya, Hospital USM telah membuka bilik gerakan banjir sejak 18 Disember lalu dengan 3 shif bertugas dalam kalangan petugas yang ada di sana termasuk pasukan perubatan dan menyediakan katil-katil khusus untuk membantu apabila perlu," kata Omar.

Hospital USM menyediakan 5 buah bilik yang dapat memuatkan 16 katil untuk mereka yang terkandas akibat banjir.

Hospital USM boleh dihubungi melalui talian 097673032, Pejabat Perhubungan Awam USM kampus Kesiohatan 09 7671010/1011/1012 di samping Majlis Keselamatan Negar  Negeri Kelantan di talian 09 7481173/79 dan Bilik-bilik Gerakan Banjir seluruh negeri Kelantan.

Beliau turut menasihati mereka yang terlibat dengan banjir agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada serta menjaga keselamatan diri dan keluarga.

USM juga telah dan akan terus menggembleng sukarelawan pelajar untuk membantu mangsa-mangsa banjir apabila keadaan mengizinkan.

"Minggu lalu lebih 100 orang Kor Sukarelawan USM dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan telah pun digerakkan ke Kelantan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat," katanya lagi.

Naib Canselor juga menasihati para pelajar USM yang akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan untuk turut berhati-hati dan mengikuti perkembangan semasa banjir terutamanya yang balik ke kampung menjelang peperiksaan.

IMG 20141223 WA0006

"Kita tahu ada segelintir pelajar yang balik kampung tatkala minggu ulangkaji menjelang peperiksaan ini dan kita harap mereka dapat menghubungi USM segera jika mempunyai masalah dengan banjir yang melanda sama ada menghubungi melalui pegawai-pegawai desasiswa atau pun pihak Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar," tambah Omar.

Universiti telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat dalam perkara ini terutamanya mereka yang pulang ke kampung dan memantau secara berterusan perkembangan pelajar yang terlibat dengan melakukan penyelarasan maklumat di antara semua kampus USM di Pulau Pinang, Nibong Tebal dan Kubang Kerian.

Naib Canselor menasihatkan sebaik-baiknya para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan segera kembali ke kampus untuk memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan sewajarnya.

Para pelajar boleh menghubungi Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar (HEPP), Pengurusan Desasiswa, Pusat-pusat Pengajian atau Pejabat Pengarah di Kampus-kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan Kelantan. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Ehsan Kampus Kesihatan dan Hospital USM

  • Created on .
  • Hits: 1540

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024