USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM TERIMA ANUGERAH IKON BELIA BUMIPUTERA 2014

staf

PULAU PINANG, 23 Disember 2014 – Mahadzer Mokhtar dan Khairol Azhar Abdul Jalil sekali lagi mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) apabila kedua-duanya menerima Anugerah Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang 2014 yang berlangsung di Sunway Convention Centre, di sini baru-baru ini.

Mahadzer, 33, menerima anugerah dalam kategori sukan berdasarkan penglibatan dan pencapaian cemerlangnya dalam menaikkan sukan sepaktakraw peringkat negeri dan juga negara.

det3

Beliau aktif dalam sukan sepaktakraw sejak tahun 1995 dan telah mewakili Pulau Pinang dan USM ke beberapa kejohanan seperti Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK), Kejohanan Majlis Belia Negeri, Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM).

Selain itu, Mahadzer juga pernah mewakili Pilihan Malaysia ke kejohanan di Brazil pada tahun 2004 dan Kejohanan Piala Nusantara di Kepulauan Riau, Indonesia.

Antara pencapaian cemerlang Mahadzer ialah pernah bergelar Olahragawan MAKSAK Malaysia, johan 14 kali dan juga 13 kali dipilih tekong terbaik MAKSAK peringkat negeri serta memenangi pingat emas dalam SUKMA dan SUKUM.

det4

Selain berbakat sebagai pemain, Mahadzer juga merupakan penasihat kejurulatihan dan turut dilantik sebagai pegawai serantau bagi pasukan sepaktakraw Jepun sejak tahun 2005 lagi.

Kini, Mahadzer lebih menumpukan perhatian sebagai fasilitator program pencarian bakat pelapis muda dan juga pengulas jemputan Astro Arena bagi sukan sepaktakraw.

azhar meow2

Bagi Khairol Azhar pula, anugerah yang diterima bagi kategori kebudayaan dan kesenian memang tidak dijangka sama sekali kerana ramai calon lain yang lebih berbakat dalam kategori yang sama.

Menganggap sebagai rezeki datang bergolek, katanya lagi, keputusan melanjutkan pengajian dalam jurusan seni di USM, ternyata pilihan yang tepat.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Lakonan dan Pengarahan) berusia 28 tahun ini pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Malaysia dan juga Pengarah Terbaik Festival Dekon Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) IPT peringkat kebangsaan pada tahun 2010 dan 2011.

azhar meow

Khairol Azhar juga boleh berbangga apabila menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Record bagi Teater Monolog Terpanjang di Malaysia yang dilakonkan tanpa henti selama 6 jam pada tahun 2010.

Selain berbakat dalam bidang seni, beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam bidang motivasi dan kini merupakan Pengarah Syarikat Meow Meow International Sdn. Bhd dan juga salah seorang speaker bagi Seminar EXP (Explore the Unknown Potentials)

Kedua-dua mereka menerima trofi, sijil dan wang tunai yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mahmud Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh, Pulau Pinang. Teks : Mohamad Danial Shahri Foto: Mahadzer Mokhtar/Khairol Azhar Abdul Jalil

  • Created on .
  • Hits: 1960

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024