USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KERJASAMA DENGAN AMER SPORTS MALAYSIA

PULAU PINANG, 26 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) terus memperkukuhkan lagi hubungan baiknya dengan Amer Sports Malaysia Sdn Bhd melalui lanjutan perjanjian persefahaman tajaan pakaian dan kelengkapan sukan jenama Wilson sehingga tahun 2018.

Pengarah PSR, Haji Muhamad Mohd Hanif berkata, sepanjang tempoh penajaan yang bermula sejak tahun 2012, Wilson akan membekalkan pelbagai pakaian sukan seperti kemeja-T dan ‘windbreaker’ serta membantu PSR dalam urus tadbir gelanggang tenis dengan lebih baik.

“USM dan PSR kini giat mempertingkatkan pembangunan sukan termasuk tenis dan badminton dan dengan penajaan yang bernilai hampir RM60,000 setahun dapat membantu dua jenis sukan ini menjadi lebih cemerlang.

"Di samping itu juga, pelajar bakal menikmati diskaun yang menarik yang ditawarkan oleh Wilson selain USM menggunakan jenama Wilson sebagai jenama rasmi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM)," tambahnya lagi.

Muhamad turut berharap dengan lanjutan kontrak penajaan ini para pelajar dapat menggunakan sepenuhnya tajaan untuk mengukuhkan lagi elemen kekuatan atlet bagi mengharumkan nama USM khususnya dalam sukan badminton dan tenis.

Amer Sports Malaysia Sdn Bhd yang diwakilli oleh Pengurus Eksekutif Pemasaran, Cheah Liek Hou turut melahirkan rasa bangga atas usahasama yang dijalinkan ini.

“Kami melihat USM mempunyai pasukan tenis dan badminton yang berpotensi besar dan boleh melangkah jauh bila menyertai satu-satu kejohanan dan atas sebab itulah, kami ingin menjadi sebahagian dari kejayaan itu melalui penajaan yang disumbangkan.”

“Penajaan tidak hanya meliputi barangan sukan dari masa ke semasa, malah turut terlibat secara langsung menjayakan beberapa acara seperti Majlis Anugerah Sukan, MASUM, Sukan Antara Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan beberapa lagi,” katanya. - Teks: Mohamad Danial Shahri & Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 940

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024