USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM ‘SALAM SAHUR’ BANGKIT KESEDARAN MAHASISWA

IMG 0509

PULAU PINANG, 21 Jun 2015 – Program ‘Salam Sahur’ berupaya untuk membangkitkan kesedaran dan rasa syukur dengan kesenangan yang ada dalam kalangan mahasiswa apabila kira-kira 150 orang pelajar turun padang mendekati, menyelami dan ringan tulang menghulurkan makanan di sekitar KOMTAR, Padang Kota, dan Pasar Chow Rasta semalam yang dianjurkan oleh Briged Sukarelawan USM.

1471236 10206910431183676 8380681098319920100 n

Menurut Pengarah Projek Nurul Shahida Mohd Zaki, 20, program ini diadakan bertujuan membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

"Kami ingin melahirkan mahasiswa dan siswazah yang memahami masalah masyarakat, merasainya dan sedar bahawa hakikat ilmu bukan hanya terdapat di dewan kuliah tetapi juga di dalam lapangan sebenar," kata pelajar Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) tersebut.

IMG 0516

Sementara itu, ahli Briged Sukarelawan USM Siti Farhana Samsudin, 21, berkata, program tersebut memberi pengalaman berharga kepadanya dan rakan-rakan yang lain supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dinikmati hari ini.

"Program ini secara tidak langsung mampu mengeratkan lagi silaturrahim yang wajar diteruskan pada masa akan datang yang berupaya memberi pendedahan kepada mahasiswa kehidupan sebenar golongan penduduk yang kurang bernasib baik ini,“ ujar Pelajar Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Kimia itu lagi.

IMG 0549

Pelajar Tahun Pertama Pusat Pengajian Komunikasi, Izzuwan Bahrin, 21, pula beranggapan pemberian bantuan kepada golongan gelandangan ini wajar diperluas dan diteruskan pada masa hadapan bukan sahaja di kawasan-kawasan tertentu malahan menerokai tempat-tempat baharu yang menjadi sasaran golongan berkenaan.

“Program ini juga secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap pemikiran para pelajar kepada pemikiran yang lebih terbuka dan berpandangan jauh serta menjadikan pelajar USM lebih mendepani isu-isu semasa nasional,” ujar pelajar pengkhususan Komunikasi Pemujukan itu lagi.

IMG 0550

Dalam pada itu, ahli Briged Sukarelawan USM Nor Azami Syawal Ramli, 23, pula beranggapan satu usaha yang lestari bersama Pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) wajar dilaksanakan khususnya bagi membantu golongan berkenaan dan bukan hanya sekadar memberi bantuan makanan.

Katanya, usaha perlu dibuat dalam jangka panjang untuk mendidik masyarakat seperti ini untuk meneruskan kehidupan melalui usaha-usaha yang membolehkan mereka berdikari.

“Inisiatif-inisiatif baharu yang lestari selain pendekatan yang jitu wajar dilaksanakan supaya golongan ini mendapat pembelaan yang sewajarnya, malahan satu platform perlu terus direncana agar nasib golongan ini terus terjamin,” ujar Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu kepada TVUSM.

IMG 0542

Wakil pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Lailatul Laili Abdul Jalil, 20, pula menzahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada USM apabila dapat menyertai program berkenaan selain berharap agar diteruskan lagi bukan sahaja pada bulan Ramadhan malahan pada masa-masa yang lain.

Mengulas lanjut Lailatul Laili berkata, program tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk memupuk dan mengukuhkan diri mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Program berkenaan memberi saya satu mesej yang berharga bahawa kita perlu bersyukur dengan apa sahaja yang dimiliki kerana ada insan lain yang kurang bernasib baik tidak memperoleh kehidupan yang sempurna, secara tidak langsung sedikit sebanyak mampu menginsafkan,” ujar pelajar Semester Pertama Diploma Sains Matematik UPSI itu lagi.

Program yang bermula jam 12.00 tengah malam itu melibatkan kira-kira 150 orang pelajar dan kira-kira 20 orang staf universiti termasuk para pensyarah, pegawai USM serta ahli-ahli USM Super Bikers yang menunggang motosikal berkuasa besar yang turut sama dalam program mengagihkan makanan kepada gelandangan.

10387577 10206913835228775 6041159329591686399 n

Lebih 300 bungkus makanan yang dimasak sendiri oleh para sukarelawan diedarkan dalam tempoh 3 jam aktiviti itu berlangsung.

Program berakhir dengan bacaan doa dan bersahur beramai-ramai di Padang Kawad USM kira-kira jam 3.30 pagi didahului dengan ucapan penghargaan daripada Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman kepada semua peserta dan berharap usaha ini akan diteruskan pada masa hadapan.

"Saya menghargai penyertaan semua termasuk pelajar-pelajar UPSI dan Super Bikers USM serta sokongan kepimpinan tertinggi kita," katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Pendaftar (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Husin Yahya dan Penasihat Briged Sukarelawan Zulkifli Che Hussein. - Teks: Siti Naquiah Abdillah



  • Created on .
  • Hits: 1323

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024