USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI ANTARABANGSA LIBAT SAMA KOMUNITI DI THAILAND

IMG 1204

CHIANG MAI (THAILAND), 18 Jun 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Chiang Mai University yang menganggotai Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) melakukan khidmat libat sama komuniti di Thailand dengan menyumbangkan  buku ilmiah dan pendidikan Bahasa Inggeris kepada empat buah sekolah  yang terlibat dalam program kesihatan komuniti di Hospital Saraphi di sini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey, empat buah sekolah yang menerima sumbangan tersebut adalah Wat Tha Ton Kwao School, Wat Weruwan School, Sarapeepittayakom School dan Sridonchai Municipality School yang merupakan  sebahagian daripada jaringan komuniti di daerah Saraphi serta merupakan sekolah khas yang memberi tumpuan kepada pembangunan moral dan nilai.

Sumbangan disampaikan oleh Naib Presiden APUCEN, Dr. Takeshi Matsuda yang mewakili Presiden APUCEN Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. 

IMG 1237

 

Jelas Susie See, Hospital Saraphi merupakan satu projek libat sama universiti-komuniti Chiang Mai University yang memberi fokus kepada libat sama semua pihak dari dalam kalangan ahli masyarakat, ketua daerah, pihak kerajaan dan industri. 

Chiang Mai University sekarang ini sedang menjalankan kajian dan membangunkan sistem realtime membantu penduduk tempatan di daerah Saraphi yang berpendapatan rendah dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan cepat dan efisien.

“Projek ini berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tempatan yang  memberi ruang untuk pendidikan kepada kanak-kanak dan remaja di daerah Saraphi yang diharapkan melalui sumbangan buku  Bahasa Inggeris ini, USM dapat membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris agar murid-murid sekolah dapat membaca secara luas dalam meningkat ilmu dan mengembangkan minda secara global,” tambah Susie See.

Jelasnya lagi, ini juga bertepatan dengan hala tuju USM yang menggabungkan campus learning dan community learning untuk menggalakkan proses pemindahan ilmu dan pembelajaran dua hala kepada pelajar.

  • Created on .
  • Hits: 857

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024