USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANTUAN ASAS HAYAT MAMPU SELAMATKAN NYAWA PESAKIT

11536128 10206882532286221 6000989770209501331 n

KUBANG KERIAN, 18 Jun 2015 - Segera, berterusan dan berkualiti merupakan penentu kepada kejayaan bantuan asas hayat kepada pesakit yang diserang penyakit jantung.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman, asas bantuan hayat merupakan kaedah rawatan awal menyelamatkan nyawa yang diberikan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri disebabkan oleh serangan penyakit jantung yang mudah dipelajari oleh orang awam.

988577 10206882532726232 3872908216069986685 n

"Kita sekarang hidup dalam masyarakat yang mempunyai risiko menghidap penyakit jantung dan melalui hasil kajian tempatan oleh Hospital USM, terdapat 25 kes serangan jantung bagi setiap 100,000 orang setahun yang walaupun jumlah ini tidak begitu besar berbanding dengan statistik  di Eropah iaitu sebanyak 35 kes tetapi masih berisiko tinggi disebabkan oleh amalan pengambilan pemakanan yang tidak sihat, budaya merokok tidak terkawal dan berat badan yang berlebihan," katanya dalam sesi temuramah di radio tempatan hari ini.

Tuan Hairulnizam berkata, masa merupakan musuh utama dalam menyelamatkan nyawa pesakit yang pengsan akibat serangan jantung kerana satu minit mewakili 10 peratus kehilangan nyawa pesakit bermakna 10 minit pertama merupakan penentu dalam menyelamatkan nyawa yang jika 10 minit tersebut dilengahkan maka peluang untuk hidup amat tipis.

"Tindakan penting semasa berhadapan dengan situasi begini adalah dengan menghubungi pihak kecemasan di talian 999, seterusnya tentukan keadaan mangsa yang biasanya langsung tidak bergerak dan bernafas, maka segera lakukan 'Cardio Pulmonary Resuscitation' (CPR) secara berterusan tanpa gangguan sehingga bantuan tiba," ujarnya.

10308390 10206882533246245 3480673047248494664 n

Tambah Tuan Hairulnizam, kecangihan teknologi sesebuah hospital atau kedudukan yang berdekatan dengan pusat kesihatan tidak menjamin keselamatan nyawa seseorang jika diserang sakit jantung.

"Kebanyakan kejadian mangsa tidak sedarkan diri berlaku di tempat awam,  oleh yang demikian adalah penting masyarakat mempunyai kemahiran untuk memberikan bantuan hayat secara berkesan bagi memastikan pesakit serangan jantung di luar hospital mempunyai peluang hidup yang tinggi misalnya  melalui program pengajaran bantuan asas hayat seperti teknik CPR dan penggunaan alatan 'Automated External Defibrillator' (AED) yang  telah diperluaskan di peringkat sekolah  dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, selain kursus-kursus yang dianjurkan di peringkat Hospital USM," katanya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1090

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024