USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRODUK PENYELIDIKAN NUTRI MUSH USM JUARA EKSPO HALAL RUSIA

PULAU PINANG, 15 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta sejarah tersendiri apabila produk hasil dari penyelidikan oleh pensyarah dan penyelidik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak mendapat tempat pertama pada Ekspo Halal Antarabangsa Moscow 2015 atau Moscow International Halal Exhibition pada 21-23 Mei 2015 lalu di Crocus Expo International Exhibition Centre Russia.

Nutri Mush ini adalah biskut yang mempunyai serat tinggi dihasilkan daripada tepung cendawan tiram yang menggantikan tepung gandum dalam kuantiti tertentu dikatakan amat baik untuk kesihatan.

Satu pek biskut Nutri mengandungi 4% daripada cendawan tiram kering atau bersamaan dengan 40% daripada cendawan tiram yang segar dikatakan mampu mencegah penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis dan penyakit kronik yang lain.

“Produk Nutri Mush Biscuits ini adalah produk yang dibangunkan hasil dari penyelidikan kami sejak 2010 telah dikomersialkan oleh Multi Sunray Sdn Bhd,” kata Wan Rosli.

Menurut Wan Rosli, kita sedar bahawa pengambilan serat pemakanan daripada buah-buahan atau sayur-sayuran dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak Malaysia tidak mencukupi dan produk yang dikeluarkan pada masa ini kebanyakannya berasaskan bakeri mengandungi serat pemakanan yang rendah, jadi biskut ini adalah untuk mengatasi masalah ini.

Syarikat Multi Sunray Sdn Bhd yang membantu dalam mengkomersialkan produk ini mendapat geran dari MTDC sebanyak RM 1.7 juta manakala Halcent International Group of Companies pula dijadikan pengedar yang membawa produk halal ini hingga ke Arab Emeriah Bersatu (UAE), Jepun dan Rusia.

Wan Rosli menyifatkan kejayaan yang dicapai ini adalah untuk USM dalam mengukuhkan lagi penyelidikannya dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan mendapat pengiktirafan dunia.Kajian untuk menghasilkan produk ini oleh Wan Rosli dan pasukannya di Kampus Kesihatan Kelantan sehingga biskut ini bersedia untuk dikomersilkan mendapati tepung cendawan tiram adalah salah satu bahan dalam makanan yang boleh dibakar seperti biskut, roti, pasta dan produk makanan yang diproses lain dan pengguna, pengeluar dan pengedar boleh memperolehi manfaat daripada penemuan produk ini untuk negara. - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 966

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024