USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAAD SUMMER SCHOOL PERKUKUH ELEKTROFISIOLOGI

PULAU PINANG, 14 Jun 2015 - USM DAAD - singkatan kepada Deutscher Akademischer Austauschdienst German Academic Exchange Service - Summer School yang dianjur bersama oleh Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dengan mengumpulkan 7 orang profesor kunjungan dan pakar dari Jerman sebagai tenaga pengajar berupaya memperkukuh bidang elektrofisiologi di USM.

Bengkel ini melibatkan seramai 9 orang pelajar, 5 orang pensyarah dan seorang Profesor Madya dari 5 buah universiti di Malaysia iaitu USM, UM, UNiSZA, UiTM dan UTP.

Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains USM Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdulllah berkata, para peserta dari 5 buah universiti Malaysia yang terlibat adalah dari calon ijazah tinggi doktor falsafah (Ph.D) dan pensyarah muda yang berminat untuk meneruskan kerjaya mereka dalam bidang Elektrofisiologi pada masa hadapan.

"Peralatan yang digunakan adalah salinan dari makmal Eropah dan bengkel ini berfokus kepada 'hands-on' analisis serta cara mendapatkan data yang menggunakan tikus sebagai bahan ujikaji," katanya lagi.

Bengkel ini juga dikatakan berupaya memberi pengalaman praktikal mengenai set-up eksperimen yang digabungkan dengan latar belakang teori yang diajar oleh profesor dan tenaga pakar dalam bidang-bidang yang berbeza.

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar menjelaskan, fasa pertama bengkel ini di Kampus Induk USM telah berjalan dengan jayanya melalui latihan yang diberi kepada para peserta pelbagai universiti di Malaysia dalam usaha menghasilkan lebih ramai penyelidik sains di dalam bidang kepakaran berkaitan saraf dan penggunan peralatan peredaran darah.

"Transdisplinari dan hubungan berterusan antara saintis-saintis yang terlibat telah diwujudkan dan kebarangkalian untuk hubungan projek penyelidikan pada masa hadapan adalah cerah untuk dimeterai," katanya ketika selesai mengadakan bengkel fasa pertama di Kampus Induk USM.

Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengalu-alukan dan memuji usaha yang dibuat dengan menyifatkannya sebagai peluang USM untuk memperkukuhkan bidang NeuroSains dengan membuahkan hasil kepada semua pihak yang menyertainya.

"Besarlah harapan saya agar kerjasama antara Malaysia dan Jerman akan diteruskan dalam bidang NeuroSains pada tahun-tahun akan datang untuk menjadikan USM sebagai hub asas NeuroSains gunaan dan klinikal penyelidikan serta berupaya menghasilkan Saintis NeuroSains untuk negara apatah lagi di rantau ini," katanya lagi.

Naib Canselor amat menghargai sumbangan pakar dan saintis yang telah menyumbangkan pelbagai peralatan termasuk BA-1S Intraselular/Patch Amplifier kepada USM pada 2009 untuk pengajaran dan penyelidikan dalam bidang Elektrofisiologi.

Bengkel 12 hari pada 1 hingga 12 Jun ini terbahagi kepada dua fasa di dua lokasi iaitu di Pusat Pengajian Sains Farmasi Kampus Induk USM dan kemudiannya di Jabatan Neuro Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM Kelantan.

USM berjaya menghasilkan 3 orang pensyarah Elektrofisiologi yang dilatih di luar negara iaitu di Universiti Nottingham UK, Universiti Sydney Australia dan Universiti Melbourne sejak program ini diperkenalkan di samping akan menghantar 2 orang pensyarah pelatih ke Universiti Gottingen dan lainnya dijangka pada akhir tahun ini. - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1089

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024