LANGKAH KEMARAAN: USM PERLU BINA LEGASI KECEMERLANGAN DAN INOVASI BERIMPAK – NAIB CANSELOR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Februari 2025 – “Saya yakin masa depan Universiti Sains Malaysia (USM) penuh dengan kemungkinan luar biasa. Perjalanan kita mampu membentuk legasi kecemerlangan, inovasi dan impak yang menginspirasi generasi akan datang,” demikian petikan kata-kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan Perutusan Naib Canselor 2025, hari ini.
Menurutnya, perjalanan warga USM berlandaskan kepercayaan dalam keilmuan, memakmurkan komuniti dan kerjasama kerana USM adalah institusi unggul dan penggerak transformasi.
“Semua bergantung kepada komitmen kita untuk memastikan ilmu yang dihasilkan dikongsi dengan dunia, dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti, membantu menyelesaikan masalah global dan memberi impak yang positif.
“Saya menyeru kepada semua ketua pusat tanggungjawab (PTJ) agar terus memupuk perkongsian global dan memberi peluang transformatif kepada staf dan pelajar di bawah seliaan untuk terus menyumbang, belajar serta berinovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Melalui kolaborasi antarabangsa, program dwi ijazah dan sabatikal dengan institusi terkemuka, USM akan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan serta memberi impak yang nyata,” katanya.
Abdul Rahman berkata, setiap ahli keluarga USM dari akademia hingga pelajar dan staf perlu memainkan peranan penting.
“Marilah kita bersama-sama mencipta masa depan yang cerah, inklusif dan penuh keyakinan sebagai agen perubahan, inovator dan pemimpin dalam membentuk masa depan USM yang cemerlang.
“Masa depan kita tidak datang dengan sendiri tetapi ianya perlukan usaha, tekad dan komitmen kolektif.
“USM adalah milik kita untuk dibina bersama melalui tindakan bijaksana, pemikiran mendalam dan dedikasi tanpa henti,” ujarnya lagi.
Tambah Abdul Rahman, kita kini berada di ambang peluang luar biasa untuk mencipta legasi impak berkekalan.
“Di USM, kita membentuk individu cemerlang, pemimpin berdaya tahan dan inovator yang fokus kepada penyelesaian untuk masyarakat.
“Langkah kemaraan (way forward) kita adalah untuk menghasilkan perubahan yang bermutu, meneruskan kecemerlangan, memacu impak dan mencipta perbezaan yang nyata dalam ekosistem pendidikan tinggi,” jelasnya lagi.
Selain itu, dalam Perutusan Naib Canselor 2025 Peringkat Kampus Kesihatan yang bertemakan ‘Kecemerlangan Berteraskan Impak’, Abdul Rahman turut mengimbas sorotan pencapaian USM sepanjang tahun 2024 dan hala tuju serta perancangan strategik USM tahun 2025.
Hampir 1,000 warga Kampus Kesihatan memenuhi Dewan Utama untuk mendengar perutusan yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) USM merangkap Pengerusi ‘Task Force’ Perutusan Naib Canselor 2025, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 134