USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIGA IPT 2015: USM LAKAR SEJARAH LAYAK KE DIVISYEN SATU

IMG 20150601 WA0021

PULAU PINANG, 2 Jun 2015 – Impian menggunung skuad bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) Minden Tigers untuk beraksi dalam Liga IPT Divisyen 1 tercapai setelah menumpaskan Kolej Komuniti Pulau Pinang (KKPP) 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.

Ledakan padu Mohamad Hanif Saidin melalui jarak 25 meter pada minit ke-85 sudah cukup membuatkan sejarah baru tercipta buat skuad Minden Tigers yang julung kalinya berjaya layak ke Divisyen 1.

Ketua jurulatih, Ahmad Norafandy Yatim atau lebih dikenali sebagai ‘Jibong’ secara peribadi menyifatkan kejayaan manis ini amat bermakna buat dirinya kerana ini merupakan kejayaan tertingginya sejak mula menceburi bidang kejurulatihan pada tahun 2009.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pemain, pihak pengurusan tertinggi, warga kampus USM dan penyokong yang tidak henti memberikan semangat dan dorongan kepada kami dan sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keputusan,” ujar bekas pemain Liga Super Perak dan Sabah ini.

Keazaman tinggi USM bermula seawal minit ke-3 lagi menerusi percubaan cantik Mohamed Farmee namun rembatannya sedikit tersasar melewati palang gol.

Minit ke-12 dan 18, tiba giliran Ahmad Hambali menguji kekentalan benteng pertahanan KKPP, namun kecemerlangan penjaga gol, Ahmad Mustaffi menidakkan segala peluang yang terhidang.

IMG 20150601 WA0016

Peluang pertama KKPP hadir pada minit ke-25 melalui penyerang lincah Muhamad Lutfi Saad tetapi gerakkannya berjaya dibaca kemas oleh penjaga gol USM, Mohd Hafizh.

KKPP memperoleh sepakan penalti pada minit ke-40 setelah Muhamad Fazreen dikasari didalam kotak penalti tetapi Mohamad Nabil gagal menyempurnakan peluang keemasan tersebut apabila menyepak tinggi dan separuh masa pertama dilabuhkan dengan percubaan terakhir oleh penjaring terbanyak USM dan juga liga, Hamza Mohamed.

Skrip separuh masa kedua bermula berbeza apabila KKPP pula yang menguasai permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu USM dalam usaha mencari gol sekaligus menyelamatkan mereka daripada zon penyingkiran.

Gerakan berbahaya hasil rangkaian serangan yang dibentuk Lutfi dan Nabil berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan USM melalui percubaan demi percubaan pada minit ke-52, 54, 63 dan 69, namun kehebatan penjaga gol menafikan gawangnya daripada dibocori.

Pengurus USM Minden Tigers, Nazru Hj. Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti berharap dalam meletakkan sasaran ke Divisyen 1 dapat direalisasikan.

“Kejayaan utama adalah milik pemain yang tidak kenal erti putus asa, melawan sehingga ke tiupan wisel penamat dan sentiasa berbangga membawa nama Universiti hingga ke peringkat yang tertinggi.”

Untuk rekod, USM Minden Tigers memulakan langkah pertamanya di Liga IPT pada tahun 2009 dan muncul naib juara pusingan kelayakan pada tahun 2011 dan kemudiannya mucul juara Liga IPT Divisyen 3 pada tahun 2012.

Perlawanan terakhir pelengkap jadual akan berlangsung pada 6 Jun 2015 di Stadium Olahraga USM yang menyaksikan USM Minden Tigers menerima kunjungan Universiti Putra Malaysia (UPM). Perlawanan akan berlangsung jam 4.45 petang. - Teks: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1120

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024