USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-UNITEN PERKUKUH KERJASAMA

PULAU PINANG, 2 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan bekerjasama dan berkolaborasi dalam bidang-bidang yang berfokus terutamanya dalam penyelidikan merentas bidang yang menjadi satu daripada kompetensi USM.  

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman hari ini selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawat dari UNITEN, Profesor Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha yang baru dilantik pada 5 mei yang lalu.

“Tahniah atas pelantikan tersebut dan saya percaya ketokohan dan pengalaman beliau dalam menerajui UNITEN dalam kapasiti yang lalu dapat membantu membangunkan UNITEN,” tambah Omar yang juga rakan karib Kamal. 

“Saya berharap kunjungan ini akan memulakan satu era baru antara USM dan UNITEN untuk berkolaborasi dalam bidang yang diminati bersama terutamanya dalam penyelidikan yang merentas bidang,” tambah Naib Canselor.

“Semua universiti seharusnya bergerak secara inklusif berbanding ekslusif dan membincangkan kekuatan masing-masing dan dengan itu saya percaya UNITEN dan USM dapat bekerjasama terutamanya dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar," ujar Kamal.

“Nic penyelidikan yang harus dilihat adalah dalam bidang kejuruteraan yang bukan sahaja secara teknikal namun dari segi kejuruteraan ekonomi serta tenaga boleh diperbaharui dan ini dapat melonjakkan penyelidikan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Kamal. 

Kamal memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai Tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1984 dan kemudian memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Sdn Bhd dan seterusnya menyertai UNITEN pada tahun 2007 sebagai Ketua, Jabatan Kejuruteraan Awam.

Pada tahun 2009, Kamal dilantik sebagai Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni dan Pengurusan) sekaligus sebagai Dekan, Kolej Pengajian Siswazah sebelum dilantik sebagai Naib Canselor.

Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda dari University of Sheffield, England pada tahun 1984 dan kemudian Ijazah Sarjana dari Heriot-Watt Universiti Edinburgh pada tahun 1987.

Kemudian beliau menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Aston, Birmingham  dalam bidang Structural-Fire Engineering dan tamat pengajian pada tahun 1995. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto:Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1099

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024