USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIKAP YANG BETUL, TEKANAN SOSIAL PENTING LAKSANA "GREEN HR"

 DSC8019sdg

PULAU PINANG, 30 Mei 2015 - Sikap yang betul semua pihak sama ada organisasi mahu pun dalam kalangan masyarakat penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan amalan hijau demi menjaga alam sekitar. Apatah lagi, mereka yang melaksanakan usaha menjaga alam sekitar akan kelihatan prihatin dan baik dari kaca mata pelanggan mahu pun orang ramai dengan bersikap dan bertindak sedemikian.

Menurut Pensyarah Kanan Queensland University of Technology Business School Brisbane Australia Dr. Sukanlaya Sawang, umumnya semua pihak sedar tentang pentingnya mengamalkan penjagaan alam sekitar, masalah perubahan iklim, kesan tindakan aktiviti harian terhadap alam sekitar dan peranan yang boleh dimainkan dalam organisasi mahu pun dalam kehidupan seharian.

 DSC8016dh

"Dalam organisasi besar pihak pengurusan tertinggi boleh sahaja menetapkan dasar amalan sedemikian untuk dilaksanakan, namun yang akan menentukan kejayaannya ialah kumpulan di bawah yang perlu memahami usaha yang dibuat dengan dorongan dan imbuhan yang tertentu, apatah lagi untuk dilaksanakan dalam kalangan industri kecil dan sederhana," katanya dalam ucap utama 'Greener HRM and Well-Being: Top Down or Bottom Up' dalam Conference on Green Human Resource Management di sini pagi ini.

Katanya, sikap yang betul akan menentukan kejayaan pelaksanaan amalan ini yang dibina dari dalam kalangan anggota organisasi dengan maklumat dan dorongan yang cukup untuk berbuat demikian apatah lagi ramai yang menganggapnya usaha ini adalah tugas kerajaan bukannya perniagaan.

Sawang seorang ahli psikologi organisasi dan penyelidik yang banyak terlibat dalam kajian di Australia, Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat terutamanya dalam kalangan Industri Kecil dan Sederhana (SMIs) berpendapat tekanan dari luar khususnya dalam amalan yang berasaskan norma masyarakat akan memberi impak terhadap kejayaan melaksanakan 'Green HRM" terutamanya amalan-amalan yang dapat menjaga alam sekitar daripada tindakan membuang sisa seperti sampah dengan betul, menjimatkan elektrik, penggunaan penghawa dingin di pejabat, penggunaan kertas, penggunaan sidang video untuk mesyuarat dan pelbagai tindakan lagi.

"Kita dapat melihat dalam kebanyakan tindakan yang dilakukan selalunya mengikut norma dan tekanan masyarakat di mana kita berada, tekanan budaya dan ikutan yang perlu dilakukan daripada dalam menjalankan ketika tugas organisasi membawa kepada amalan seharian dalam kehidupan yang berlandaskan maklumat dan kefahaman terhadap penjagaan alam sekitar," katanya lagi kepada kira-kira 50 orang peserta dari dalam kalangan industri, universiti mahu pun pihak berkuasa tempatan.

Tambah Sawang, usaha ini juga melibatkan semua pemegang taruh dari dalam kalangan pengurusan tertinggi, penyelia, pihak kerajaan, media, pekerja dan seluruh anggota organisasi yang perlu bergerak secara holistik dengan pengukuhan dalam amalan di rumah dan tempat kerja yang selari dengan sikap yang betul berasaskan tekanan dari luar secara berterusan.

"Mungkin juga organisasi boleh mewujudkan konsep 'green champions' yang diberi pengiktirafan tertentu untuk mereka melakukan tindakan yang bersesuaian dan berterusan di samping mewujudkan strategi pengurusan melalui HRM untuk memastikan keberkesanannya," jelasnya lagi.

Namun tegas Sawang, apa jua usaha yang dibuat seharusnya mudah untuk diamalkan, memberi dorongan yang tertentu serta dibekalkan maklumat yang cukup melalui proses pendidikan yang berterusan untuk melestarikan apa jua usaha yang dibuat.

 DSC8005j

Terdahulu, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan (GSB) Profesor Madya Dr. Sofri Yahya berkata, persidangan ini adalah satu inisiatif untuk membawa pihak industri dan ahli akademik untuk bersama-sama berbincang dalam melaksanakan 'Green HRM' untuk melestarikan bisnes dalam konteks pasaran yang berkembang sekarang ini.

"Dengan model bisnes baharu sekarang ini, adalah wajar untuk membawa bersama-sama semua pihak yang terlibat dalam 'Green HRM' terutamanya dalam libatsama penyelidikan mahu pun pengamal dalam industri untuk mencari kaedah terbaik melaksanakan usaha ini," kata Sofri.

 DSC8000

Hadir sama ialah Konvenor Persidangan, Dr Yusliza Mohd Yusoff dan mantan Pengarah Urusan Motorola dan kini Felo Industri GSB Dato' T.T. Yew. - Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1525

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024