USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CIPTA REKOD KALIGRAFI TIONGHUA TERPANJANG DI MALAYSIA

USM PULAU PINANG, 26 APRIL 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakar kejayaan dengan mendapat pengiktirafan daripada The Malaysian Book of Records melalui Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) USM dalam Penulisan Kaligrafi Tionghua terpanjang (2.68km) di Malaysia.

WhatsApp Image 2024 04 26 at 16.34.42

Kejayaan penghasilan penulisan kaligrafi terpanjang itu bukan sahaja membabitkan pelajar-pelajar PBT USM, tetapi juga merupakan hasil kerjasama 1,000 orang pelajar USM yang berbilang bangsa dan etnik termasuk pelajar-pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di USM.

Hadir sama pada majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Puyu Pulau Pinang, YB Phee Syn Tze.

Menurut Phee, rekod ini dapat menunjukkan Pulau Pinang bukan sahaja sebuah negeri yang dikenali sebagai ‘Mutiara Timur’ dan ‘Lembah Silikon Timur,’ ia juga merupakan sebuah negeri yang inklusif, berdiversiti, mewujudkan perpaduan dan toleransi antara kepelbagaian etnik, agama serta budaya.

WhatsApp Image 2024 04 26 at 16.34.41

“Kejayaan ini telah membuktikan bahawa peneraju masa depan negara kita adalah mahasiswa/i yang mampu memainkan peranan dalam mendorong kesepaduan sosial dan interaksi budaya.

“Mereka merupakan wakil masa depan yang akan menjadi perantara dan meneruskan kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, kejayaan PBT USM yang diiktiraf ini merupakan bukti kecemerlangan pelajar USM tidak terhad hanya kepada bidang akademik sahaja tetapi mereka juga kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti kokurikulum di universiti.

“Kemahiran kepimpinan dan kemahiran insaniah yang ditunjukkan oleh para pelajar merupakan bukti kemampuan luar biasa mereka dalam menghadapi cabaran, sekaligus mengaplikasikan kepelbagaian budaya di negara kita untuk memperlihatkan keunikan dan aspirasi mahasiswa,” jelasnya.

“Sebagai sebuah Universiti APEX dan peneraju bidang dalam kelestarian, dengan pengiktirafan kedudukan keempat terbaik dunia, USM akan terus memperkasakan para pelajarnya dan mendahului dari segi kepimpinan pelajar, bersesuaian dengan aspirasi 'Pemerkasaan Mahasiswa’ dan moto 'Kami memimpin',” tambah Shaharum.

Turut hadir adalah Penolong Pengurus Pemasaran The Malaysian Books of Records, Jeska Seah; Penasihat PBT USM, Dr. Lee Pin Ling dan Yang Dipertua PBT USM, Kang Kim Hwee.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Ebrahim Abd Manan

  • Created on .
  • Hits: 160

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024