USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIH GANGSA DALAM ANUGERAH UTAMA HARTA INTELEK NEGARA 2024

WhatsApp Image 2024 04 26 at 11.56.39 1

PETALING JAYA, 26 April 2024 - Buat julung kalinya Universiti Sains Malaysia (USM) meraih gangsa bagi anugerah utama sempena Hari Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) iaitu Anugerah Platinum  (Pembangunan Lestari Harta Intelek) 2024 dalam majlis khas di sini, hari ini.

Anugerah Platinum ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan pengurusan harta intelek yang baik dan bertanggungjawab serta mempunyai strategi untuk menjaga dan mengguna semula sumber-sumber harta intelek mereka dalam jangka masa panjang.

Kemenangan itu membolehkan USM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, Piala AHIN dan Sijil Penghargaan.

Selain itu, inovasi kreatif rekacipta pensyarah USM turut melakar kejayaan meraih Perak bagi kategori Anugerah Teknologi Hijau melalui rekacipta bertajuk VL JEJAK - Smart Integrated Solid Waste Management System.

Rekacipta berkenaan dihasilkan oleh dua Pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik,  Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dan Profesor Madya Dr. Bakhtiar Affendi Rosdi.

Anugerah Teknologi Hijau diberikan kepada pencipta yang memiliki harta intelek menarik, kreatif dan menyumbang kepada teknologi hijau dan alam sekitar.

VL Jejak adalah inovasi sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu berasaskan masa nyata dan pintar yang dibangunkan untuk mengautomasikan proses penjejakan, pemantauan dan merekod kualiti kerja dalam perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan kawasan.

Ia dapat membantu menambah baik keadaan kerja dan piawaian buruh, serta menyumbang kepada persekitaran yang selamat dan bersih.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, Piala AHIN dan Sijil Penghargaan.

Anugerah Harta Intelek Negara mula diperkenalkan pada 2006 yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada perekacipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Ia dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Kesemua anugerah bersempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2024 yang bertemakan Harta Intelek Nadi Malaysia Madani itu telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Turut hadir ialah Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain, Ketua Pengarah MyIPO, Tuan Kamal Kormin dan pegawai-pegawai utama pelbagai agensi awam dan swasta.

Hadir menerima anugerah bagi pihak USM pula ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab. Turut hadir ialah Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan dan para pensyarah USM.

WhatsApp Image 2024 04 26 at 11.56.37

Armizan dalam ucapannya berkata, teras kepada Malaysia Madani adalah daya cipta dan MyIPO berperanan dalam  melaksanakan dan menjayakan gagasan besar Malaysia Madani.

Majlis Anugerah Harta Intelek Negara diwujudkan bagi menggalakkan minda kreatif serta menanam budaya inovasi dan  rekacipta dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penghasilan lebih banyak harta intelek sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 184

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024