USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA 10 MESIN AED BANTU PESAKIT SERANGAN JANTUNG SECARA MENGEJUT

G3

WhatsApp Image 2024 04 25 at 11.54.17 AM

PULAU PINANG, 25 April 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan sejumlah 10 mesin Defibrilasi Luaran Automatik (Automated External Defibrilator – AED) untuk ditempatkan di setiap kampus yang berfungsi bagi membantu pesakit yang mengalami serangan jantung secara mengejut.

Peruntukan yang menelan belanja sejumlah RM80,000 bagi pembelian mesin ini akan ditempatkan di kampus induk sebanyak 7 buah manakala selebihnya masing-masing sebuah di Kampus Kejuruteraan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif ini yang disediakan melalui Pusat Sejahtera USM adalah bagi memastikan kemudahan rawatan kecemasan universiti sentiasa berada dalam ketersediaan terbaik selain memupuk amalan penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan, serta meningkatkan kesedaran tentang mendapatkan rawatan perubatan awal kepada warga USM.

Jelas beliau, universiti sentiasa mengutamakan kesejahteraan kesihatan warga USM kerana persediaan fasiliti seperti mesin AED ini dilihat penting dengan situasi persekitaran kesihatan masa kini yang memungkinkan individu berisiko serangan jantung secara mengejut di kampus.

"Pelbagai peruntukan skim perubatan telah diusahakan oleh USM bagi menambahbaik perkhidmatan perubatan buat warga USM antaranya menambahbaik Pusat Saringan Demam (Fever Centre) di Pusat Sejahtera dan juga pelaksanaan saringan kesihatan bagi warga USM yang melebihi umur 40 tahun termasuk program I Fit and Eat Right (IFitEr) bagi mereka yang mempunyai BMI melebihi 25," ucap beliau ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2024 peringkat Universiti Sains Malaysia di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, USM.

WhatsApp Image 2024 04 25 at 11.54.17 AM2   WhatsApp Image 2024 04 25 at 11.54.17 AM3

Tambah Abdul Rahman lagi, berdasarkan rekod statistik masalah kesihatan di kalangan staf mahupun pelajar USM semakin meningkat saban tahun terutamanya penyakit jantung, buah pinggang dan kanser.

"Nasihat saya untuk warga USM, lakukanlah ujian saringan kesihatan secara berkala seperti yang dinasihatkan pakar perubatan supaya pencegahan awal dapat dilakukan.

"Ini juga dapat membantu mengelakkan kos rawatan yang lebih tinggi jika tidak diambil tindakan awal pencegahan penyakit-penyakit kritikal," tambah Abdul Rahman.

Di majlis yang sama, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latif berkata, mesin-mesin AED ini akan diletakkan di beberapa buah PTJ yang banyak terdedah kepada risiko serangan jantung mengejut.

"Antara lokasi yang kita tempatkan adalah di Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Stadium Tan Sri Azman Hashim, padang KOPA USM, Pejabat Naib Canselor dan beberapa lagi lokasi sesuai selain di Pusat Sejahtera sendiri, kata beliau.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara senamrobik bersama Coach Alia, ujian saringan kesihatan, suntikan vaksin Human Papillomavirus (HPV) secara percuma dan ceramah kesihatan bertajuk "Cegah Sebelum Parah" oleh pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar | Foto: Shahnizam Ab Rahim

SDG3

  • Created on .
  • Hits: 169

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024