USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TURUT SERTA DALAM PROGRAM PENANAMAN 1 JUTA POKOK, SEMPENA HARI BUMI 2024

G13G15

WhatsApp Image 2024 04 22 at 3.19.01 PM

USM PULAU PINANG, 22 April 2024 - Bersempena dengan Sambutan Hari Bumi 2024, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyokong inisiatif yang dianjurkan oleh Yayasan Amal TYT dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengambil bahagian dalam Program Penanaman 1 Juta Pokok Peringkat USM yang ditanam secara serentak di seluruh negeri Pulau Pinang.

Sebanyak 8,500 pokok ditanam di ketiga-tiga kampus USM dengan penglibatan seramai 1,000 sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar USM di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan IPPT Bertam.

Hadir bagi menyokong program ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor USM.

Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan yang menyokong amalan kelestarian, program seperti ini telah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13, Tindakan Iklim dan SDG 15, Kehidupan di Darat.

WhatsApp Image 2024 04 22 at 3.19.01 PM1

“Antara pokok yang ditanam adalah pokok limau kasturi yang dapat menghasilkan buah serta penanaman pokok kelat paya dan beberapa pokok balak yang mana dapat memberi banyak faedah kepada alam sekitar, antaranya dapat menurunkan suhu persekitaran dan membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kampus selain menyerap karbon dioksida (CO2) di persekitaran USM,” katanya.

Bagi pihak USM, Abdul Rahman merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan menjadikan program ini sangat bermakna untuk generasi masa kini dan akan datang.

WhatsApp Image 2024 04 22 at 3.19.01 PM2   WhatsApp Image 2024 04 22 at 3.19.01 PM3

Pada majlis yang sama, Abdul Rahman turut melancarkan gimik Perasmian Kebun Limau Kasturi@USM.

Abdul Rahman kemudian turut beramah mesra bersama warga Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) USM yang turut menanam pokok di kawasan PPDK USM.

WhatsApp Image 2024 04 22 at 3.19.01 PM4

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: NirMaryadi Rashid & Shahnizam Ab Rahim

SDG13, SDG15

  • Created on .
  • Hits: 251

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024