USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM UCAP SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2024/1445H

c6a45849 549b 422d 89ba a42cf5dd2378
USM PULAU PINANG, 10 April 2024/1 Syawal 1445H – Setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, hari ini kita meraikan hari kemenangan dengan menyambut Aidilfitri.

“Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman, ambillah peluang ini untuk meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tersayang.

“Di musim perayaan ini, saya percaya masing-masing mempunyai perancangan untuk saling menziarahi sesama keluarga, jiran tetangga mahupun sanak saudara lain.

“Kukuhkanlah perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat agar kita saling bersatu padu dalam mengekalkan keharmonian di negara kita,” ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Beliau menyeru seluruh warga USM untuk tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik dan yang ditimpa musibah terutamanya rakan-rakan serta seluruh umat manusia yang kini berhadapan dengan cabaran kemanusiaan, peperangan, penindasan dan bencana lain, terutamanya saudara kita di Gaza, Palestin.

Katanya lagi, kita seharusnya mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala rahmat yang telah dan sedang kita nikmati selama ini.

Abdul Rahman juga berharap agar warga USM dapat terus mengeratkan silaturahim demi meneruskan kejayaan, kegemilangan dan kepimpinan dalam memacu kecemerlangan agar USM sebagai sebuah Menara Ilmu yang bertaraf APEX dapat menjadi relevan kepada masyarakat di peringkat setempat, nasional dan global.

“Di kesempatan ini, bagi pihak Lembaga Gabenor Universiti (LGU) dan kepimpinan tertinggi universiti, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024/1445H kepada seluruh warga USM di mana jua anda berada termasuk para alumni serta pemegang taruh utama yang sentiasa rapat dengan USM.

Salam Aidifitri. Maaf zahir dan batin.

  • Created on .
  • Hits: 137

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024