USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRN GESA TINGKATKAN DAN SEGERAKAN PELAKSANAAN KAWALAN TERHADAP PRODUK MEROKOK KHUSUSNYA ROKOK ELEKTRONIK

WhatsApp Image 2024 04 15 at 14.48.54

Kenyataan akhbar

PROFIL KERACUNAN AKIBAT PENDEDAHAN TERHADAP ROKOK ELEKTRONIK 2015 - 2023

PUSAT RACUN NEGARA (PRN), UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) merupakan institusi terulung dalam perkhidmatan khidmat nasihat bagi kes-kes keracunan di Malaysia.

Melalui perkhidmatan ini, PRN dapat mengenal pasti trend keracunan semasa yang boleh dikaitkan dengan kewujudan produk baru di pasaran atau kesan daripada perubahan kawalan terhadap sesuatu produk.

Sejak tahun 2015 sehingga kini, PRN giat memantau kes pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya sejak ia pertama kali dilaporkan pada tahun 2015.

Sejumlah 111 kes telah dirujuk ke Pusat Panggilan PRN dalam tempoh 9 tahun ini.

Walau bagaimanapun, terdapat dua tempoh masa yang menunjukkan peningkatan ketara kes-kes yang dilaporkan.

Fasa pertama peningkatan adalah sebanyak 2 kali ganda pada tahun 2020 (13.5%) dan 2021 (19.8%) berbanding 6.3% pada tahun 2019, iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Majoriti kes pada waktu tersebut adalah melibatkan kanak-kanak berusia kurang 5 tahun.

Situasi ini boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini oleh kanak-kanak akibat penyimpanan yang tidak selamat. Ini ditambah lagi dengan bentuk pembungkusan produk khususnya cecair rokok elektronik tanpa ciri keselamatan serta kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula.

Fasa kedua peningkatan adalah selepas PKP iaitu pada tahun 2022 dan 2023.

Walaupun pada tahun 2022 mencatatkan sedikit penurunan iaitu 18%, tetapi pada tahun 2023, PRN telah merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi sebanyak 30.6% iaitu 5 kali ganda kenaikan berbanding tahun 2019.

Pada tahun yang sama juga, nikotin telah dikeluarkan daripada Akta Racun 1952.

Fasa kedua juga menunjukkan perubahan trend dari kategori umur di mana lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 – 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja.

Lebih 95% kes yang dilaporkan adalah bergejala. Majoriti gejala yang ditunjukkan pesakit konsisten dengan gejala keracunan nikotin seperti muntah yang teruk, mengantuk, cirit birit, sakit perut, pengsan dan sawan.

Namun terdapat juga pesakit yang menunjukkan gejala yang lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dadah ke dalam cecair rokok elektronik.

Sejak tahun 2021, PRN mula menerima kes pendedahan rokok elektronik yang dikaitkan dengan dadah Magic Mushroom atau bahan aktifnya psilosibin, dan telah merekodkan sebanyak 23 kes sehingga kini.

Walau bagaimanapun, tanpa sebarang kawalan terhadap rokok elektronik, pihak PRN tidak dapat mengesahkan kandungan bahan tersebut.

Justeru itu, PRN menggesa agar pihak kerajaan menyegerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah diluluskan tahun lalu dengan memastikan kawalan terhadap produk rokok elektronik diberi penekanan seperti berikut:

  • Penggunaan penutup keselamatan bagi bekas isian semula cecair rokok elektronik;
  • Melarang penggunaan bahan perisa makanan dalam cecair rokok elektronik;
  • Menghadkan kepekatan nikotin dan jumlah cecair dalam cecair rokok elektronik serta bekas isian semula;
  • Memastikan produk khususnya bahan kimia diuji dan didaftarkan untuk tujuan pemantauan;
  • Menetapkan pengoperasian piawai yang ketat untuk proses pengeluaran produk;
  • Mengukuhkan sistem pemantauan bagi kes-kes pendedahan keracunan rokok elektronik;
  • Mengawal akses rokok elektronik kepada golongan bawah umur.

PRN sekali lagi menggesa agar pelaksanaan kawalan terhadap produk merokok khususnya rokok elektronik perlu disegerakan bagi mengelakkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda menjadi mangsa ketagihan dan keracunan nikotin.

SULASTRI SAMSUDIN, Ketua Pegawai Farmasi, Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, 22 Mac 2024

  • Created on .
  • Hits: 88

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024