USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SESI PERJUMPAAN NC BERSAMA KETUA-KETUA JABATAN USM, TERUS SASARKAN KECEMERLANGAN DALAM PENCAPAIAN PTJ

BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 29 Mac 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed baru-baru ini telah mengadakan sesi perjumpaan dengan kesemua Ketua Jabatan (HOD) USM.

Perjumpaan yang diadakan di Sains@USM Bukit Jambul berkisar tentang penghasilan kerja kesemua pusat tanggungjawab (PTJ) di USM agar dapat terus mensasarkan kecemerlangan dalam pencapaian mereka.

Merujuk kepada slaid beliau, antara perkara yang disentuh adalah tentang Kecemerlangan Akademik (AE) yang dikaitkan dengan pembangunan bakat staf akademik, dan Kecemerlangan Penyelidikan (RE) yang menyentuh tentang kualiti penerbitan penyelidikan serta penghasilan inovasi.

Dari aspek AE, Naib Canselor mengingatkan semua agar dapat dipastikan adanya integriti dan kualiti dalam setiap penerbitan berkaitan penyelidikan yang dihasilkan. Ini juga telah ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Berkaitan RE pula, hasil penyelidikan dan inovasi antara lain berupaya membantu ke arah usaha penjanaan kewangan.

Beliau juga memaklumkan tentang skor kecemerlangan USM secara keseluruhan, yang terdiri dari komponen Kecemerlangan Akademik (AE), Kecemerlangan Penyelidikan (RE), Kecemerlangan Perkhidmatan (SE), dan Kecemerlangan Kewangan (FE).

Sebelum berakhirnya perjumpaan, beliau mengingatkan kesemua HOD tentang pencapaian yang perlu dikaitkan juga dengan Inisiatif Utama APEX 2024, yang terdiri dari 10 Tujahan.

Selain itu, Naib Canselor menggesa agar PTJ yang berkaitan mula memberi tumpuan terhadap perkembangan penggunaan perisian kecerdasan buatan (AI) dan usaha pendigitalan.

Perjumpaan diakhiri dengan sesi soal-jawab dan makluman dari mereka yang hadir.

Turut hadir di sesi tersebut adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor, serta pegawai-pegawai utama universiti.

Sesi tersebut juga diikuti secara dalam talian oleh HOD dari Kampus Kesihatan di Kelantan.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 63

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024