USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SINGGAH SAHUR BHEPA KAMPUS KEJURUTERAAN SANTUNI MASYARAKAT SETEMPAT

NIBONG TEBAL, 1 April 2024 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal telah menganjurkan program Singgah Sahur bagi menyantuni masyarakat setempat serta mahasiswa yang tinggal di luar kampus (PETAS) di sekitar kawasan parlimen Nibong Tebal.

Hadir bersama adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek.

Fadhlina dalam ucapan ringkas beliau melahirkan rasa syukur atas keprihatinan mahasiswa USM dan berharap agar program seumpama ini dan juga program-program lain seperti program STEM yang melibatkan pembangunan pelajar sekolah dapat diusahakan.

Beliau akan sentiasa menyokong penglibatan mahasiswa USM bersama dengan sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang.

Program Singgah Sahur ini telah melibatkan seramai 40 sukarelawan mahasiswa USM Kampus Kejuruteraan yang terdiri daripada Sekretariat MPP, Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU) dan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) Kampus Kejuruteraan.

“Program yang julung kalinya diadakan ini sedikit sebanyak dapat memberi pengalaman baru kepada mahasiswa dalam menyantuni masyarakat sekitar dalam mencapai agenda USM itu sendiri iaitu memasyarakatkan universiti,” kata Ketua Unit BHEPA Kampus Kejuruteraan merangkap Penolong Penggawa PETAS, Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar yang turut hadir.

Pegawai Kebudayaan Kampus Kejuruteraan, Mohd Nur Badri Mohd Nazli yang turut serta berkata, nilai ihsan juga telah diterapkan bersama sepanjang program ini dijalankan, yang mana mahasiswa dapat melihat dan mendengar sendiri pengalaman insan yang mereka santuni tersebut menjalankan amanah yang telah diberikan dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

Sebanyak 300 pek makanan sahur telah diedarkan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang menjalankan tugas sehingga lewat malam seperti Balai Polis, Balai Bomba, Hospital dan Penjara.

Tidak dilupakan pengawal-pengawal keselamatan di sekolah dan mahasiswa yang tinggal di rumah sewa di luar kampus di sekitar parlimen Nibong Tebal.

Teks: Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar/Syed Muhammad Zakwan/Foto: Sukarelawan Singgah Sahur USM Kejuruteraan/Unit Media dan Penerbitan BHEPA

  • Created on .
  • Hits: 87

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024