USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG HADIR BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA KAMPUS

WhatsApp Image 2024 04 01 at 10.11.48 PM

USM PULAU PINANG, 1 April 2024 - Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bersama isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor di Majlis Iftar Perdana USM.

Ketibaan Tun disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, disertai bersama Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.

WhatsApp Image 2024 04 01 at 9.54.59 PM 2

Bertempat di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM, Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berkata, USM meneruskan tradisi uniknya memberi peluang kepada pelajar berbilang kaum dan agama dari pelbagai negara untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa di masjid.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Peringkat USM, Pusat Islam dan seluruh barisan sukarelawan yang bertungkus lumus menyediakan hidangan iftar kepada sebanyak 2,000 hingga 3,000 orang setiap hari di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, diselitkan penyampaian Zakat Wakalah pelajar Asnaf USM oleh USAINS Holding Sdn. Bhd., yang disampaikan oleh Pengerusi USAINS Holding Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim kepada Pusat Islam USM Kampus Induk dan Kampus Kesihatan yang akan memanfaatkan seramai 194 pelajar asnaf dan B40 dengan jumlah RM28,000 dan RM30,000.

Selain itu, Yayasan YARA turut menyumbangkan sejumlah RM18,000 kepada pelajar B40 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, dan penyerahan sumbangan Korporat Siswa Upaya (E-Bike) sebanyak RM30,000 oleh Affin Islamic Bank Berhad.

Majlis turut menyaksikan penyerahan wakaf Sumber Rujukan Perpustakaan USM oleh Jawatankuasa Wakaf Strategik USM yang bernilai RM50,000.

Tabung Haji juga turut menyumbang sejumlah RM500,000 sebagai sumbangan Program Iqra’ TH IPTA kepada asnaf yang memerlukan.

WhatsApp Image 2024 04 01 at 10.11.43 PM 1

Kesemua penyerahan tersebut telah disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Tun dan Pengerusi LGU USM.

Beliau juga seterusnya menunaikan solat Isyak dan tarawih secara berjemaah di Masjid Al-Khalid Malik bersama kenamaan yang lain.

WhatsApp Image 2024 04 01 at 10.11.39 PM

WhatsApp Image 2024 04 01 at 10.11.38 PM 2

Hadir sama dalam majlis ini adalah Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Hj. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Mohd. Yussof Latiff; Ahli-ahli Lembaga Gabenor USM; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; serta pegawai-pegawai utama USM.

WhatsApp Image 2024 04 01 at 9.54.59 PM

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 239

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024