USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PINDAAN AUKU BERI LEBIH AUTONOMI KEPADA MAHASISWA, SELARAS AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA

USM PULAU PINANG, 22 Mac 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik dan menyokong penuh pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di Dewan Rakyat, pada awal minggu ini.

MPP USM menyifatkan kelulusan pindaan AUKU 1971 itu bakal memberi lebih autonomi kepada mahasiswa selaras agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasakan golongan mahasiswa.

Yang Dipertuanya, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, berkata pindaan akta itu juga dilihat dapat memperkukuh daya kepimpinan mahasiswa menerusi kecekapan pengurusan kewangan oleh badan pelajar.

Beliau berkata, ia berikutan pindaan terbabit antara lain membenarkan MPP atau badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, selain menguruskan kumpulan wang atau akaun.

"Seterusnya, penyelarasan terhadap tempoh pemilihan MPP yang lebih teratur mengikut tahun akademik pula akan menambah baik proses demokrasi pelajar dan tempoh keahlian MPP itu sendiri.

"Dalam hal ini, MPP USM berpendapat tempoh keahlian MPP akan tetap terjamin mengikut tahun akademik susulan pindaan itu.

"Selain itu, pindaan akta berkenaan juga adalah satu daripada usaha ke arah pemerkasaan autonomi dan kebebasan dalam penganjuran sesuatu program," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MPP USM.

Tambah beliau, pindaan terbaharu itu yang turut menyaksikan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk bawah kuasa Naib Canselor, sebaliknya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar pula memperlihatkan pemantapan amalan tadbir urus yang lebih sistematik dan teratur.

Justeru, beliau berkata, MPP USM sentiasa komited menyokong sebarang usaha merealisasikan agenda pemerkasaan mahasiswa dan memperjuangkan hak kebebasan golongan itu.

"Oleh itu, besar harapan kami supaya pindaan AUKU ini dapat direalisasikan segera dan diterima baik oleh semua pihak terbabit," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April depan.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan digulung Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan di Parlimen.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 90

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024