USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FMQ 2024 LABUH TIRAI: MEMBANGUN BAKAT DAN KEROHANIAN MAHASISWA/I

597bd9bb cc62 4cc0 85ac bce1bd5dbca4
USM PULAU PINANG, 30 Mac 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini telah menyempurnakan Majlis Penutup Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) 2024 bertempat di Masjid Al Malik Khalid USM.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata sebagai Naib Canselor USM, beliau amat menyokong pelaksanaan program FMQ yang mendorong kepada pembangunan kerohanian, kreativiti dan bakat mahasiswa/i USM.

“Melalui penganjuran program seperti ini, saya yakin ramai pelajar akan mencuba dan menguji bakat terpendam mereka dengan menyertai pertandingan-pertandingan yang telah dilaksanakan seperti pertandingan penulisan khat yang dapat meningkatkan daya kreativiti dan pemikiran artistik sekaligus memartabatkan seni warisan Islam,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, beliau yakin para pelajar dapat memperoleh banyak manfaat melalui penyertaan mereka di program FMQ dan mencapai objektif HEBAT yang menjadi tunjang utama pembangunan bakat mahasiswa dan mahasiswi.

“Harapan saya adalah agar program FMQ ini dapat memberikan impak yang baik bukan sahaja kepada diri pelajar, bahkan kepada diri kita semua sebagai umat Islam.

“Penting buat kita sebagai umat Islam untuk sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai rujukan dan panduan utama dalam kehidupan kita. Semoga kita semua memperoleh manfaat daripada program ini agar suasana yang progresif dapat diwujudkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Abdul Rahman bersama-sama peserta membaca Al-Quran yang turut disertai oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr. Azizah Omar selaku wakil Timbalan Naib Canselor HEPA; Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa USM, Zulkifli Che Hussin; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari; Penggawa Desasiswa Indah Kembara USM, Siti Hawa Mat Junoh; Pengarah Program FMQ 2024 USM, Ahmad Daniel Abu; dan barisan pegawai desasiswa dan pelajar serta peserta FMQ 2024.

Abdul Rahman turut berbuka puasa bersama-sama barisan penganjur, peserta dan warga USM di Masjid Al-Malik Khalid USM.

Turut diselitkan dalam program adalah penyampaian hadiah pertandingan yang dipertandingkan, pemberian duit raya kepada golongan asnaf sumbangan pihak Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM dan pemberian kit Ramadan sumbangan Persatuan Wanita USM kepada keluarga asnaf.

FMQ 2024 membawa tema ‘Kalamullah Jalan Generasi Rabbani’ berlangsung dari 28 hingga 30 Mac 2024 yang dianjurkan oleh Desasiswa Indah Kembara USM.

Terdapat pelbagai acara yang dipertandingkan dalam program pada tahun ini iaitu Tilawah Al Quran, Hafazan, Syarahan Agama, Penulisan Khat dan Azan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 219

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024