USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FMQ2024: WADAH MEMBANGUNKAN GOLONGAN TERPELAJAR PERIBADI CEMERLANG

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.35.55 AM 1

USM PULAU PINANG, 29 Mac 2024 - Program Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan peribadi mahasiswa dan mahasiswi agar mereka sentiasa menjadikan kitab suci Al-Quran sebagai panduan bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia mahupun akhirat.

Melalui program ini, kita dapat melihat bahawa Al-Quran adalah penting sebagai panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Demikian ujar Pengarah Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azizah Omar dalam ucapan perasmiannya di Dewan Musabaqah Pusat Islam USM bersempena dengan pembukaan Program FMQ 2024.

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.35.48 AM

Tambah Azizah, penganjuran program seperti ini juga merupakan salah satu usaha dalam membentuk mahasiswa dan mahasiswi agar bergiat aktif dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Kita dapat melihat pertandingan seperti Tilawah Al-Quran dapat memberi tumpu terhadap aspek kesenian, dari segi bacaan dan alunan irama yang sangat unik. Tidak semua orang mampu membaca dan melontarkan alunan suara disertai sebutan yang betul dalam setiap baris ayat,” kata Azizah.

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.35.48 AM 1

Katanya lagi, kaedah bacaan ini juga mampu menguji stamina, teknik mengawal suara dan kreativiti peserta ketika membacanya. Selain itu juga, melalui penghayatan bacaan, ianya dapat mengajar peserta supaya sentiasa fokus terhadap hukum bacaan dan tajwid agar bacaan tidak salah dan sekaligus memberi kesan kepada markah bacaan.

Menurut Timbalan Majlis Penggawa Desasiswa USM, Ts. Dr. Shahrizal Nazri, tujuan majlis ini dianjurkan adalah untuk menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kerohanian yang mana program seperti ini diyakini mampu menyokong usaha membangunkan potensi pelajar selaku penggerak kepada program ini.

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.35.48 AM 2

Sementara itu, Pengarah Program FMQ 2024, Ahmad Daniel Abu berkata, ‘Kalamullah Jalan Generasi Rabbani’ merupakan tema FMQ pada tahun ini, yang membawa maksud Kitab Al-Quran Pencetus Jalan Generasi Mahasiswa Daulatan Islamiah.

“Harapan saya adalah agar program yang dijalankan ini dapat memberikan impak yang positif kepada mahasiswa/i supaya dapat melahirkan generasi muda yang bersemangat untuk mendalami dan mencintai kitab suci Al-Quran, disamping mampu bersaing sesama sendiri dengan adil dan kompetitif,” kata Ahmad Daniel.

Mandat penganjuran FMQ pada tahun ini telah diberikan kepada Desasiswa Indah Kembara USM. Terdapat pelbagai acara yang berlangsung dalam program pada tahun ini iaitu Tilawah Al Quran, Hafazan, Syarahan Agama, Penulisan Khat dan Azan.

WhatsApp Image 2024 03 29 at 11.35.51 AM

Hadir sama adalah barisan-barisan penggawa, penolong-penolong penggawa, majlis yang dipertua, dan peserta program pelajar USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Nirmaryadi Rashid & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 214

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024