USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HAYATI ERTI SEBENAR RAMADAN BERLANDASKAN KEPADA RUKUN NILAI DAN TERAS APEX – NC

DSC 2592

NIBONG TEBAL, 26 Mac 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru agar seluruh warga universiti untuk menghayati makna Ramadan berlandaskan kepada Rukun Nilai dan Teras APEX.

Berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Naib Canselor Peringkat Kampus Kejuruteraan USM hari ini, beliau berkata, dua panduan ini mampu memperkukuhkan imej USM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi.

aea996d9 6256 40fd ad5c 201bc2ddf414

“Selain itu, ia juga akan membantu dalam membentuk warga universiti yang bukan sahaja bersifat holistik, malah bertanggungjawab dan menyumbang semula kepada masyarakat secara menyeluruh,” kata beliau.

Beliau turut menyifatkan bahawa aktiviti berbuka puasa yang dijalankan oleh Pusat Islam USM saban tahun ini sebagai satu inisiatif yang sangat relevan dengan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Khususnya yang berkaitan sasaran SDG 1 ‘Tiada Kemiskinan’ dan SDG 2 ‘Kelaparan Sifar’, di mana aktiviti berbuka puasa yang dijalankan ini dapat menjadi wadah sokongan kepada golongan yang memerlukan di sekitar kita,” kata beliau.

“Penyediaan makanan berbuka puasa pula jelas dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan sekaligus dapat meningkatkan kesedaran tentang isu kemiskinan dan kelaparan dalam kalangan warga kampus serta masyarakat setempat,” tambah Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin pula berkata, semua pihak khususnya Jawatankuasa Aktiviti Ramadan 1445H/2024M Peringkat Kampus Kejuruteraan memainkan peranan penting dalam kejayaan penganjuran majlis kali ini.

DSC 2639

“Apatah lagi, majlis seumpama ini amat bermakna kepada warga Kampus Kejuruteraan, kerana ianya menjadi medium untuk kita berkumpul dan berbuka puasa secara bersama yang diserikan lagi dengan kehadiran ahli jawatankuasa pengurusan tertinggi USM,” kata Azlina.

“Ianya juga merupakan salah satu daripada tradisi di kampus ini, yang mana para petugas sukarelawan secara bergilir-gilir bergotong royong untuk menjayakan aktiviti iftar, bukan sahaja pada hari ini, tetapi sepanjang bulan Ramadan dengan sasaran penerima sumbangan seramai 1,000 orang,” tambah beliau.

DSC 2678

Dalam majlis ini, Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar asnaf, sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim dan miskin (anak staf), sumbangan keinsanan zakat Pusat Islam dan sumbangan kebajikan KKSSK kepada adik Thaqif Irfan, penghidap kanser yang merupakan anak staf Kampus Kejuruteraan USM.

DSC 2700   DSC 2737

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato' Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024